Bagaikan kerdipan bintang yang tak pernah padam, kejayaan anak muda Malaysia di mata dunia amatlah membanggakan negara. Sama ada daripada segi bantuan kemanusiaan ataupun pendidikan, kehebatan anak muda kita zaman sekarang tidak boleh disangkal lagi.
Hal ini disokong dengan berita kejayaan seorang pelajar dari Malaysia yang mula menjadi sebutan ramai. Baru-baru ini, nama Adnan Zikri Jaafar menjadi topik perbualan hangat netizen di platform media sosial.
Menurut NST, beliau yang merupakan pelajar jurusan kewangan dan pengajian antarabangsa telah mengharumkan nama negara dengan menjadi penerima Biasiswa Rhodes, biasiswa paling berprestij dunia.
Berikut kami senaraikan sedikit profil dan kejayaan yang telah dikecapi Adnan buat inspirasi anak muda Malaysia di luar sana:
1. Bekas pelajar Kolej Tuanku Jaafar
Adnan dikenali sebagai seorang pelajar yang pintar dan merupakan bekas alumni Kolej Tunku Jaafar yang dikenali sebagai antara sekolah antarabangsa yang mempunyai reputasi terbaik.
2. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Pennsylvania (Penn)
Selesai persekolahan, Adnan kemudian menyambung pengajian ijazah sarjana muda di Penn menerusi program Huntsman dalam bidang Pengajian Antarabangsa dalam Perniagaan yang ditawarkan Fakulti Seni dan Sains serta Wharton School yang memang berprestij.
Antara jurusan yang menjadi pilihannya ialah kewangan, statistik dan pengajian antarabangsa dengan minor dalam matematik, ekonomi dan falsafah. Wow hebat!
3. Punyai rekod kokurikulum yang baik
Tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik, Adnan juga mempunyai rekod kokurikulum yang baik. Dia telah menjadi felo Pengajian dan Perkhidmatan Fox dan siswa bagi penyelidikan Wharton.
Malah pada musim panas lalu, Adnan juga telah meluangkan masa untuk menjalani pengajian tentang zakat dan kaedah alternatif untuk menambahbaik cara pengagihannya di Malaysia. Tak sia-sia anak muda ini belajar hingga ke US.
4. Pernah menjadi sukarelawan pelarian dan duta program kebajikan
Tidak hanya mengisi masa lapangnya dengannya hal berkaitan universiti semata-mata, Adnan menceburkan diri dalam menjadi sukarelawan untuk pasukan petugas organisasi bukan kerajaan yang fokus kepada kebajikan pelarian di Philadelphia. Dia juga turut serta dalam membantu sekolah kanak-kanak pelarian Syria di Irbid, Jordan.
Namun namanya terus melonjak naik selepas dipilih menjadi duta bagi progam kebajikan Giving What We Can di universitinya.
5. Kini menyambung pengajian peringkat tertiari di Oxford
Berkat kegigihan dan semangat yang dibawa Adnan, dia telah terpilih untuk menyambung pengajian peringkat tertiarinya di Oxford. Fokus pengajiannya lebih tertumpu kepada perantaraan sosial yang berlandaskan bukti dan penilaian polisi. Selain itu, dia juga menyambung ijazah sarjana dalam bidang ekonomi kewangan.
6. Mendapat pujian presiden Penn kerana menunjukkan pencapaian akademik dan moral yang cemerlang
Selain Adnan, Christopher D’Urso juga salah seorang penerima Biasiswa Rhodes. Menurut presiden Penn, Amy Guttman, mereka berdua telah menunjukkan pencapaian akademik dan moral yang cemerlang sepanjang pengajian mereka di universiti tersebut.
“Kedua-dua siswa Rhodes terbaru kami berkongsi semangat untuk penglibatan dalam kebajikan masyarakat, hak asasi manusia dan keadilan sosial. Fokus mereka merangkumi ciri-ciri terbaik para sarjana Penn yang sentiasa komited untuk mewujudkan perubahan yang mendalam pada dunia.
“Chris dan Adnan sangat berbakat, sering terlibat dalam pelbagai aktiviti dan komited dalam apa jua perkara. Mereka berhak mendapat pengiktirafan ini,” ucap Guttman di dalam laman web rasmi Penn.
Tahniah buat Adnan Zikri Jaafar kerana menjadi antara pelajar cemerlang di peringkat antarabangsa. Semoga kejayaan dan bakti yang dicurahkannya menjadi inspirasi buat generasi muda di Malaysia.
Anda boleh tonton video khas daripada Adnan di sini.
Sumber asal: Lobakmerah.com
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2iFyI5h
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2jEU27I
via MerahHatiCintaku.blogspot.com