Monday, 26 March 2018

Aafiyah Ialah Perlindungan Allah, Mufti Hurai Di Sebalik Nama Siti Aafiyah..


PETALING JAYA: Teka-teki tentang nama pengarang jantung Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu si comel pipi merah terjawab pada malam Ahad apabila penyanyi itu mengumumkan Siti Aafiyah sebagai nama pilihannya.

Keistimewaan tentang makna di sebalik nama Aafiyah dikongsikan sendiri oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Bakri menerusi laman Facebooknya pada Isnin.

Zulkifli berkata, penyanyi kesayangan negara dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu bertandang ke pejabatnya untuk menjemput beliau ke majlis Maulid Nabi, akikah dan tahnik serta membincangkan tentang kesesuaian nama Siti Aafiyah sebelum majlis itu berlangsung pada Ahad malam.

"Pengertian ‘afiah dalam Islam luas cakupannya baik di dunia, mahupun di akhirat.

"Secara umumnya, ‘afiah adalah perlindungan Allah SWT bagi hamba-Nya daripada pelbagai penyakit dan bencana yang telah berlalu, mahupun akan datang, di dunia dan akhirat.

"Maka, orang yang mendapatkan kurnia ‘afiah, maka dia telah mendapat kebaikan yang sempurna," tulisnya menerusi posting tersebut.


Datuk K dan Zulkifli duduk bersebelahan pada Majlis Tahnik dan Akikah Siti Aafiyah yang diadakan pada Ahad malam.

Tambah Zulkifli, Nabi Muhammad SAW turut menegaskan umat Islam untuk membaca doa yang bermaksud: "Mintalah keampunan dan keselamatan (‘afiah) kepada Allah SWT. Sesungguhnya seseorang tidak diberikan pemberian setelah keyakinan yang lebih baik dari keselamatan (‘afiah)."

Tokoh agama itu turut menyifatkan majlis yang dianjurkan buat si comel pipi merah itu sungguh sempurna menurut pandangannya kerana diisi dengan selawat dan lagu-lagu pujian ke hadrat Allah dan Rasulullah.

"Pengisian sebeginilah yang sewajarnya dijadikan contoh dan ikutan dalam kalangan umat Islam bagi meraikan kelahiran anak.

"Tahniah sekali lagi kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza," ujarnya.

Sementara itu, Siti Nurhaliza turut memberi reaksi ke atas posting yang turut dimuat naik ke laman Instagram Zulkifli dengan mengucapkan kalimah syukur.

"Alhamdulillah, Jazzakillahu khair Tuan Mufti sudi mentahnikkan anak saya... Fii aamanillah," tulis Siti Nurhaliza.

Sumber: Mstar Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2pGhq7z
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2GdzJbD
via MerahHatiCintaku.blogspot.com