Assalamualaikum dan Salam 1Dunia,
kali ini ingin ajak rakan-rakan semua untuk perbincangan topik kata kunci evergreen, atau kata kunci yang akan relevan sepanjang zaman, selagi tiada perubahan ketara dalam sosio ekonomi atau gaya hidup dikalangan masyarakat. Ada beberapa topik yang biasanya akan sentiasa relevan untuk sepanjang zaman.
Topik-topik ini akan menyebabkan artikel kita sentiasa menjadi rujukan apabila tiba masanya dan akhirnya memberikan kita trafik yang berpanjangan. Ada banyak contoh artikel yang telah diterbitkan di blog ini, yang akan mendapat perhatian apabila tiba musimnya.
Kita bukan ingin memastikan satu artikel itu sentiasa aktif, tetapi mempunyai 100 artikel atau 1000 artikel yang akan menyebabkan setiap musim sepanjang tahun itu mempunyai artikel yang berpadanan. Andai ini terjadi, kerja kita untuk membuat pemasaran akan lebih mudah.
Topik yang relevan tidak mengikut musim
Topik-topik seperti resepi, tips kehidupan, tips rumah tangga, tips anak-anak adalah antara topik yang sentiasa relevan tanpa mengikut musim, cuma kalau sebut pasal resepi, bila tiba musim tertentu, bilangan pelawat bertambah berganda-ganda berbanding waktu biasa.
Kisah kehidupan antara perkara yang boleh kita tulis setiap masa, bagaimana menguruskan anak-anak, bagaimana untuk melipat baju dengan mudah ataupun semudah, kenapa perlu guna dobi layan diri untuk menjimatkan masa dan tenaga. Semua ini antara cerita yang tidak ramai suka tulis, kerana tidak glamor.
Namun impaknya memang cukup lazat dan boleh buat semua pengusaha laman tersenyum lebar.
Topik yang relevan mengikut musim
Ada juga topik yang relevan mengikut musim, contohnya pada musim cuti sekolah, tips-tips percutian biasanya akan mendapat tempat di hati pembaca. Selain itu aktiviti anak-anak untuk cuti sekolah, mungkin ada resepi untuk buat slime dan seumpamanya.
Begitu juga apabila tiba musim perayaan seperti bulan Ramadan dan Raya Aidilfitri. Menu-menu berbuka puasa, atau mungkin info mengenai niat puasa, cara solat terawih akan mendapat tempat kerana akan ada yang mencari untuk membuat semakan semula atau rujukan agar ibadat mereka lebih sempurna.
Perayaan seperti Hari Merdeka juga memberikan impak yang berbeza, ucapan atau sajak biasanya akan menjadi perhatian ramai. Ini biasanya disebabkan guru atau anak murid membuat aktiviti berkaitan Hari Merdeka. Ianya akan menjadi artikel yang dikitar semula dengan sendirinya, tanpa perlu kita melakukan perubahan apa-apa.
Kata kunci evergreen yang menguntungkan
Selain topik-topik yang telah dikongsikan, ada banyak lagi topik lain yang akan menyebabkan kata kunci evergreen ini dapat kita gunakan dan menjadikan artikel atau terbitan. Kita hanya perlu buat terlebih dahulu, dan disebabkan faktor masa, kita akan dapat menilai dan mengagak topik-topik yang sentiasa relevan.
Jika kita sibuk kejar menulis perkara yang tular, tetapi bersifat sementara waktu, kita akan mudah penat. Walaupun impak jangka masa pendek nampak lazat dan bagus, namun untuk jangka masa panjang, kita perlu ulang dan ulang hingga menjadikan kita lelah dan keletihan.
Bayangkan kita ingin memasarkan produk keluaran kita dalam satu-satu topik, contohnya topik kecantikan. Apabila kita menerbitkan banyak artikel-artikel yang akan relevan untuk jangka masa yang panjang, pemasaran kita tidak akan berhenti walaupun kita tidak menjalankan pengiklanan berbayar.
Seperti masa perkongsian bagaimana blog boleh membantu perniagaan anda, ini adalah cabang untuk memantapkan lagi proses tersebut. Siapa yang rajin melakukan dan mengusahakan, dia akan mendapat keuntungan jangka masa panjang. Soal percaya atau tidak, itu tidak boleh nak dipaksa.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2FYIwlz
via Denaihati.com