MODEL dan pelakon baharu, Reena Areena mengakui terpikat dengan sikap suaminya, Aman Graseka, 51, yang romantik dan penyayang.
Malah, selebriti berusia 29 tahun ini mengakui perbezaan umur yang jauh bukanlah satu halangan buat mereka.
“Alhamdulillah, saya senang dengan sikap dia. Keluarga saya juga begitu. Dia seorang yang romantik dan penyayang.
“Bagi saya, usia bukanlah satu masalah besar. Apa yang penting, kami dapat membina persefahaman yang baik,” katanya pada Sinar Harian.
Reena dan Aman diijabkabulkan dalam satu majlis ringkas sambil disaksikan keluarga dan sanak saudara serta kenalan rapat di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah, pada 18 Mac lalu.
Ini merupakan perkahwinan pertama Reena dan yang kedua buat Aman.
Pasangan ini bertemu ketika menjalani penggambaran drama bersiri, Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production di Perlis, tahun lalu.
“Kami tak ada rancangan nak buat majlis kahwin secara besar-besaran. Lagipun, jadual suami pula agak padat. Kami pun tak bertunang sebaliknya terus bernikah.
“Bahkan, hari ini suami dah pun ke Melaka kerana sibuk dengan shooting,” katanya.
Pun begitu, pasangan ini juga berhasrat untuk mengadakan majlis resepsi, selepas ini.
“Insya-ALLAH, kami tetap akan buat resepsi, tunggulah selepas semua kerja-kerja suami selesai nanti,” katanya.
Terdahulu, Aman pernah berkahwin dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu pada 1997.
Namun ia hanya mampu bertahan selama 10 tahun dengan dikurniakan seorang cahaya mata, Nurdayini Ashiqah, 20 tahun.
Aman berkata, sebelum ini, dia pernah tidak terfikir untuk mencari jodoh namun, perasaan ingin kembali berumah tangga hadir selepas bertemu kekasihnya itu.
“Bohong kalau selama 15 tahun bersendirian, saya tidak berkawan dengan gadis lain. Tetapi, pintu hati saya tidak terbuka untuk berumah tangga lagi. Saya juga tidak pernah menjalin hubungan secara serius selepas bercerai.
“Dalam bercinta, saya suka wanita yang lebih muda, sebolehnya belum mencecah usia 30 tahun kerana ia memberikan cabaran dalam perhubungan. Cabaran itu membuatkan cinta tidak mudah pudar dan membosankan.
“Disebabkan itu, saya mengelak daripada menjalin cinta dengan wanita matang kerana pada saya, hubungan itu kurang rencah dalam mewarnai hidup,” katanya.
Aktor yang kembali menjadi bualan ramai apabila membintangi drama 7 Hari Mencintaiku itu sebelum ini, mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu dan memiliki cahaya mata, Nurdayini Ashiqah, 19.
Aman berkata, pada usia 50 tahun, sudah tiba masa untuk dia memikirkan semula soal jodoh.
“Saya mula terfikir untuk mencari wanita yang boleh menjaga makan minum dan sakit pening saya apabila hari tua nanti.
“Kuasa Allah mempertemukan saya dengan Reena ketika menjalani penggambaran drama Papa Nak Menantu terbitan Zeel Production Sdn Bhd pada April lalu di Perlis.
“Secara jujur, saya sudah malas mencari jodoh tetapi, apabila bertemu Reena, hati saya memang terpaut. Biarpun masih muda, dia boleh mengikut rentak saya. Perbezaan usia selama 22 tahun juga tidak menghalang kemanisan dalam perhubungan kami.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2GA3nLg
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2pKhZOw
via MerahHatiCintaku.blogspot.com