MUAR: "Dah lebih seratus jam berlalu, kami berharap adik masih bernyawa, dan sekiranya dia telah meninggal dunia, kami doa jenazahnya ditemui pasukan penyelamat."
Demikian luah Azral Azizan, abang kepada Mohd Akasha Azizan, 25 tahun, yang merupakan satu-satunya kru warga tempatan dalam kapal korek pasir JBB Rong Chang 8, yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, Rabu lalu.
Azral, 37 tahun, berkata, sebagai abang sulung, gerak hatinya mengatakan adik kesayangannya masih berada di sekitar lokasi kapal berkenaan.
"Kami masih menunggu, harapan kami supaya adik ditemui. Kami redha, kami harap dia masih bernyawa, kalau tidak, kami harap semoga mayatnya dapat ditemui.
"Saya sendiri dapat rasakan dia masih ada di kawasan kejadian, tetapi mungkin ia mengambil masa lama," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di jeti Pengkalan Nelayan Pantai Leka, pusat operasi pasukan pencari dan penyelamat (SAR).
Azral memberitahu mereka sekeluarga yang berasal dari Changlun, Kedah bergegas ke Parit Jawa sejurus menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan.
Jelas Azral, mereka sekeluarga akan menunggu sehingga operasi ditamatkan.
Azral berkata kali terakhir mereka sekeluarga berhubung dengan Akasha adalah dua minggu lalu menerusi panggilan video.
Akasha yang ketika itu bertugas di atas kapal memaklumkan tidak sabar untuk menamatkan tugas dan pulang ke kampung halaman.
Akasha sudah bertugas di atas kapal korek pasir berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Operasi SAR yang masuk hari kelima pada Ahad, menghentikan khidmat pasukan penyelam dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta penyelam profesional.
Usaha pencarian kini ditumpukan pada permukaan air. Sehingga kini lima kru kapal itu berjaya diselamatkan sejak tragedi berkenaan berlaku Rabu lalu.
Sumber: Astro Awani
from Sehinggit Media https://ift.tt/2INY6Ou
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2G3D7cN
via MerahHatiCintaku.blogspot.com