Sebagai seorang islam yang mukmin, menuntut ilmu menjadi satu kewajipan dan adalah wajib bagi kita untuk menuntut ilmu yang diperlukan.
Dan orang yang berusaha itu memerlukan kepada ilmu perusahaan. Haruslah kita mempunyai sekadar yang diperlukan dari ilmu berniaga, supaya dapat membezakan, yang diperbolehkan dan yang dilarang , tempat yang mengandungi kesulitan dan yang jelas-terang.
Kalau tidak, nescaya kita akan terjerumus kepada yang haram tanpa kita sedari.
Berkata ‘Umar r.a., “Tidaklah berjual-beli, selain orang yang berpengetahuan ilmu fiqah. Kalau tidak, dia akan memakan riba. Dengan kemahuannya atau tidak dengan kemahuannya”.
Memang benar, disebabkan terlalu rakus mengejar kemewahan dunia, tanpa disedari banyak di kalangan masyarakat kita terutama masyarakat islam yang terlibat dalam perkara-perkara yang haram terutama riba. Misalnya kita beli kereta hutang bank, beli rumah hutang bank, pinjaman peribadi,
Pinjaman perniagaan dan banyak lagi, semuanya dikenakan faedah yang melibatkan riba. Kita ingat apa yang kita buat itu betul tetapi salah disisi agama islam. Sedangkan agama Islam yang Allah turunkan itu sempurna untuk dijadikan panduan hidup, baik kehidupan dunia mahupun akhirat. Hanya kita yang tidak mahu belajar.
Allah Ta’ala berfirman: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. – Surah Al-Bakarah, ayat 269
Oleh itu kita wajib melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum kita memulakan sesuatu usaha samada usaha untuk kehidupan di dunia mahupun usaha untuk akhirat. Jangan libatkan diri kita dalam perkara-perkara yang dilarang oleh agama semata-mata untuk mengejar keuntungan dan kekayaan. Di dalam Al-Quran ada diterangkan larangan akan perbuatan riba.
Allah Ta’ala berfirman:
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. – Surah Al-Bakarah, ayat 275
Allah Ta’ala berfirman: “Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah- sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa”. – Surah Al-Bakarah, ayat 276
Allah Ta’ala berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman”. – Surah Al-Bakarah, ayat 278
Allah Ta’ala berfirman: “Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”. – Surah Al-Bakarah, ayat 279
Pelaburan adalah sebahagian daripada perniagaan yang dibenarkan di dalam Islam. Pelaburan (Al-qiradl) atau penyerahan modal untuk diperniagakan di dalam Islam mempunyai beberapa syarat dan rukun seperti di bawah:-
Penyerahan Modal untuk diperniagakan (al-qiradl) Hendaklah dijaga pada qiradl ini, 3 sendi (rukun)
Rukun 1: Modal
• Syaratnya modal itu mestilah berupa wang yang dimaklumi jumlahnya dan diserahkan kepada yang akan mengerjakannya dalam perniagaan.
• Maka tidak diperbolehkan qiradl pada barang-barang kerana perniagaan itu akan menjadi sempit padanya.
• Dan kalau disyarat oleh pemilik modal supaya modal ditangannya, maka tidak dibolehkan kerana dengan demikian, menyempitkan jalan perniagaan.
• Tiada Jaminan keatas Modal, jika pelaburan itu tidak berhasil atau rugi maka modal itu dikira lenyap dan hangus.
Rukun 2: Keuntungan
• Hendaklah keuntungan itu diketahui pembahagiannya dengan disyaratkan bagi pemilik modal sepertiga atau seperdua atau berapa yang dikehendakinya. Misalnya pembahagian keuntungan 50:50 atau 60% untuk pelabur dan 40% untuk peniaga atau mana-mana nisbah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
• Kalau pemilik modal itu mengatakan: “Untuk kamu, keuntungan seratus dan sisanya bagiku”, niscaya tidak boleh. Maka tidak boleh menentukannya dengan jumlah tertentu, tetapi hendaklah dengan jumlah yang umum.
Rukun 3: ‘Amil iaitu orang yang melaksanakan perniagaan
• syaratnya perniagaan itu tidak menyempitkan kepada ‘amil dengan penentuan barang dan waktu atau sesuatu syarat yang menyempitkan pintu perniagaan, niscaya ‘apad qiradl itu batal.
Agama Islam tidak membenarkan satu pihak menindas satu pihak yang lain. Begitu juga dalam urusan pelaburan, kedua-dua pihak Pelabur dan Peniaga sama-sama kena tanggung risikonya. Misalnya kita melabur dengan kawan kita di Acheh dan ditetapkan tiap-tiap bulan kita dapat 25%.
Tiba-tiba berlaku tsunami di Acheh dan habis semuanya musnah. Kita tidak akan menyangka perkara sebegitu boleh berlaku dan apa-apa pun boleh berlaku dan kita mesti sama-sama kena berani menanggung risikonya. Pelabur yang lenyak tidur, tau-tau tiap- tiap bulan 25% duit masuk ke dalam account bank. Sedangkan pihak peniaga kalau rugi tak dapat tidur, siang malam asyik memikirkan cara bagaimana hendak bayar 25% itu kepada pelabur. Ini yang tidak dibenarkan dan diharamkan dalam Islam.
Kita mesti ingat walaubagaimana hebatnya sesuatu perniagaan itu, kita tidak akan dapat meramal atau mengetahui apa akan terjadi dimasa akan datang, untung atau rugi, kaya atau miskin, hidup atau mati dan sebagai manusia yang beragama kita hanya boleh berusaha dengan ilmu yang ada untuk berjaya tetapi hanyalah ALLAH Ta’ala yang menentukannya.
Pelaburan (Al-Qiradh) ialah tindakan meletakkan dana bagi satu tempoh yang ditetapkan dengan mengharapkan pulangan pada masa akan datang iaitu memperoleh hasil daripadanya dan ia adalah salah satu kaedah mengembangkan harta.
Namun, perlulah kita ingat, hasil pelaburan itu tidak semestinya positif kerana risiko pelaburan adalah tinggi. Oleh itu, kita perlulah mendalami ilmu pelaburan sebelum melabur dalam sesuatu perkara. Antara dua kontrak syariah yang popular dan berkaitan dengan pelaburan ialah Musyarakah dan Mudharabah.
Ciri-ciri pelaburan dalam Islam
Aktiviti pelaburan yang dilakukan mestilah halal dan dibenarkan oleh syariah. Modal pelaburan haruslah disediakan oleh salah seorang atau kedua-dua orang dalam sesebuah perkongsian berdasarkan bentuk kontrak yang telah disediakan.
Modal haruslah dalam bentuk wang dan sekiranya aset diterima sebagai modal perniagaan, maka ia adalah satu kemestian untuk kita beri nilaian kepada aset itu berdasarkan nilai semasa dan tertakluk kepada penurun nilai.
Keuntungan perlulah dalam bentuk peratus atau bahagian. Sebagai contoh, pembahagian keuntungan 50:50 atau 60% untuk pelabur dan 40% untuk peniaga atau mana- mana nisbah yang dipersetujui oleh kedua dua pihak. Adalah menjadi satu kesalahan jika pemilik modal menetapkan keuntungan dalam jumlah tertentu. Contohnya,
“Keuntungan untuk kamu adalah RM 800 dan selebihnya adalah untuk aku”
Jika berlaku kerugian, maka ia mestilah ditanggung oleh kedua-dua pihak yang berkongsi kerana Islam tidak membenarkan satu pihak menindas satu pihak yang lain. Setiap pihak mempunyai hak dan tanggjungjawab yang perlu diperjelaskan dalam perjanjian untuk mengelak berlakunya perselisihan faham.
Setiap pihak boleh membatalkan kontrak perkongsian, tetapi boleh disyaratkan cara pembatalan itu dan sekiranya ini telah dimasukkan dalam perjanjian, ia telah mengikat kedua-dua pihak.
Jika kita hendak melabur dalam sesuatu perkara, kita perlu mematuhi rukun-rukun pelaburan yang dibenarkan dalam agama Islam. Kita juga haruslah mengelakkan diri daripada melabur dalam aktiviti pelaburan yang haram kerana hasil pelaburan itu juga akan menjadi haram.
“Allah Ta’ala tidak mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya”.
Allah itu Maha adil dan Islam itu adil. Jadi kalau tak berani tanggung risiko JANGAN lah cuba untuk melabur. Dan jika kita tak buat sesuatu untuk menambah pendapatan, pun tak kemana juga..”Gunung kalau di gali tiap-tiap hari pun akan rata jadinya”. –Pejuang Usahawan–
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2N6Uxay
via Denaihati.com