Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Pernah lihat seseorang membawa tin susu dan di dalamnya mempunyai air seperti teh, kopi atau milo yang suam-suam panas? Biasanya minuman ini dibeli dari kedai-kedai biasa di tepi jalan. Jika dahulu kita lihat ia dibungkus dengan plastik tapi kini, untuk menarik perhatian, maka bekas susu yang digunakan dikitar semula.
Mungkin ada yang beranggapan ia adalah perkara yang unik dan jarang dilakukan oleh peniaga lain, dan membuat anda turut ingin mencuba dan menikmati keunikan itu. Tanpa disedari oleh pengguna dan peniaga itu sendiri, keunikan tersebut mengundang bahaya kepada pelanggan tersebut.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya mengambil maklum mengenai isu minuman dalam tin kitar semula yang tular di media sosial. Penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna.
Ini berikutan kebersihan tin kitar semula adalah diragui kerana sukar dibersihkan dengan sempurna disebabkan rekabentuk tin tersebut dan kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek. Di samping itu, ia boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam.
Oleh itu, KKM menasihatkan supaya orang ramai khususnya peniaga makanan menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman kerana tin tersebut bukan bertujuan untuk penghidangan minuman.
Peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang hendak dihidangkan bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.
Sehubungan itu, dari segi perundangan, Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan.
Dan, di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2WBtVBH
via Denaihati.com