Wednesday, 1 January 2020

Lelaki Mahu Poligami, Adakah Keluarga Boleh Halang ?

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Poligami. Mendengarnya sahaja sudah pasti menggerunkan hati wanita-wanita yang bergelar isteri mahupun yang belum berkahwin, apatah lagi untuk mengharunginya.

Dewasa ini, kita mendengar terlalu banyak cerita berkisar rumah tangga dan poligami yang semakin hari semakin menarik perhatian banyak pihak.

Ada segelintir daripada kaum lelaki yang sanggup bernikah secara sembunyi gara-gara si isteri menghalang hubungan cinta dengan wanita lain dan ada pula isteri yang sanggup meminta cerai disebabkan tidak sanggup dirinya dipoligami.

Namun, adakah dibolehkan untuk seorang isteri atau sesebuah keluarga itu menghalang si suami daripada berkahwin lain? Adakah berdosa dan digelar derhaka seorang isteri yang menghalang suaminya berpoligami?

Boleh Menghalang Jika Wujud Keperluan Untuk Membantah

Pernah suatu ketika, Baginda SAW berkhutbah berkenaan perihal ini bahawa jika perkahwinan kedua itu mampu menyakiti hati si isteri atau menjejaskan hubungan yang sudah terikat, adalah lebih baik untuk membantahnya.

إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا

Maksud: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughrah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Thalib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah sebahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sahaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitiku.” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5320)

Walaupun poligami itu halal dalam Islam, namun hukumnya boleh berubah mengikut situasi dan keadaan sesebuah keluarga itu.

Menurut pandangan Mufti Wilayah, terdapat tiga hukum berkenaan dengan poligami yang perlu diambil perhatian, iaitu:

1. Sunat

Sunat terhadap seseorang itu untuk berkahwin lain jika mempunyai keperluan lain, seperti isteri pertama sakit atau tidak mampu memberikan zuriat.

Ia adalah dengan syarat seorang lelaki itu diyakini boleh berlaku adil dalam setiap rumah tangga yang dibina.

2. Makruh

Makruh hukumnya jika seseorang itu melakukan perkahwinan kedua atau ketiga semata-mata untuk berhibur walaupun dia mampu dan boleh berlaku adil.

Ia juga jatuh pada makruh kerana bimbang boleh memberi mudarat kepada isteri sama ada boleh menyakiti hatinya disebabkan cemburu yang terlampau atau tidak boleh berlaku adil.

3. Haram

Haram hukumnya jika lelaki itu tidak mampu sama ada dari sudut kewangan, tidak adil kerana pilih kasih atau sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada yang pertama.

Kesimpulannya, seeloknya berbincang dan berkomunikasi terlebih dahulu sesama suami isteri untuk melihat asbab adakah perlu berpoligami dengan melihat kepada sudut keluarga dan juga perasaan isteri sendiri.

Hal ini kerana, ia adalah untuk menjaga kemaslahatan silaturahim yang pertama. Untuk melaksanakan perkara yang baik dalam Islam, maka caranya juga perlu dilakukan dengan baik.

Tidak berdosa jika si isteri menghalang suami daripada berpoligami lagi kerana melihatkan keadaan dan situasi yang bakal dihadapi, namun jangan sehingga hilang taat kepadanya kerana setiap permasalahan itu boleh diselesaikan.

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Mafhum: “Kemudian, jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” 

(Surah An-Nisa, 4:3)

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Tazkirah & Mufti Wilayah



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2QHBYtW
via Denaihati.com