Monday, 27 January 2020

Kesihatan Awam Keutamaan Kami Berbanding Pendapatan Pelancongan – Thailand


BANGKOK – Jumlah kes 2019 novel koronavirus di Thailand meningkat kepada lapan orang hari ini, paling ramai individu yang disahkan positif di luar China.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan, Anutin Charnverakul berkata daripada lapan kes yang disahkan itu, lima telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Beliau berkata baki tiga pesakit dari China berusia 33, 57 dan 73 tahun itu masih menerima rawatan di hospital.

Anutin berkata keadaan mereka bertambah baik dan mereka akan dibenarkan pulang jika keputusan makmal mendapati mereka negatif koronavirus.


“Kesihatan awam adalah keutamaan kami. Kami tidak akan mengutamakan pendapatan pelancongan berbanding kesihatan awam,” katanya.

“Kami yakin kami dapat mengawal keadaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Anutin mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan agensi-agensi kerajaan, termasuk dari Kementerian Kesihatan, Pelancongan dan Pengangkutan mengenai langkah-langkah untuk mencegah penyebaran virus itu.

Anutin berkata terdapat 84 kes disyaki koronavirus dilaporkan di negara itu.

“Daripada jumlah itu, 24 dikesan oleh pengimbas haba di lapangan terbang manakala selebihnya pesakit yang datang mendapatkan rawatan.

“Sebanyak 39 pesakit yang disyaki dijangkiti virus itu telah dikuarantin di hospital-hospital,” katanya. – Bernama


from Sehinggit Media News https://ift.tt/3aKv8x9
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2GtDhZ0
via MerahHatiCintaku.blogspot.com