SEJAK 28 Disember lalu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mula menggunakan tulisan Jawi dalam ciapan di akaun Twitter baginda.
Sejak itu pengikut setia Twitter baginda terpaksa pula mempelajari huruf dan tulisan Jawi untuk mengetahui apa yang diciapkan oleh Tunku Azizah.
Kecintaan Tunku Azizah terhadap tulisan Jawi timbul ditengah-tengah desakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menolak pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina.
Ramai orang Melayu sebenarnya berasa terhina dengan penolakan Dong Zong terhadap tulisan warisan masyarakat Melayu itu. Bukan banyak pun tiga muka surat sahaja. Itupun berkaitan tulisan Jawi yang ada pada jata negara, wang kertas Malaysia dan setem.
Bukanpun pelajar berkenaan diajar huruf-huruf Jawi dan belajar membaca dalam tulisan Jawi. Tidak. Mereka cuma didedahkan mengenai warisan negara sehingga tulisan itu diabadikan pada jata negara, wang kertas dan setem.
Agak pelik juga bila ada yang memberi alasan penolakan pengenalan tulisan Jawi itu kerana takut murid-murid bukan Islam memeluk agama Islam.
Alahai, alasan ini samalah dengan sindiran sinis kepada orang Melayu, ‘takkan nampak salib terus jadi Kristian’. Ramai sahaja pelajar Islam yang belajar di sekolah mubaligh yang meletakkan salib tidak pula mereka menjadi Kristian.
Sekarang ini pun banyak kanak-kanak Melayu-Islam belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, tidak pula ibu bapa Melayu-Islam ini takut anak-anak mereka memakan babi atau bercampur gaul dengan rakan-rakan mereka yang memakan haiwan yang diharamkan oleh Islam itu. Kerisauan yang tidak bertempat!
Jadi, tidak masuk akal langsung subjek yang memperkenalkan tulisan warisan Malaysia itu dianggap sebagai sebahagian usaha untuk mengislamkan pelajar sekolah.
Berbalik kepada perjuangan Raja Permaisuri Agong untuk memartabatkan tulisan Jawi. Adakah orang-orang Melayu akan membiarkan Tunku Azizah berseorangan berjuang untuk memulihkan semula tulisan warisan bangsanya yang nampaknya dipandang hina oleh pihak lain?
Tidakkah masyarakat Melayu juga bertanggungjawab dan berperanan untuk memartabatkan tulisan Jawi di tanah air mereka sendiri.
Lihat sahaja bagaimana masyarakat keturunan Tiong Hua memartabatkan tulisan nenek moyang mereka. Di dinding-dinding kedai dan bangunan yang mereka miliki terpampang megah tulisan Cina. Cantik kerana menggambarkan budaya mereka.
Kenapa agaknya usahawan dan peniaga Melayu tidak menjadikan budaya masyarakat Cina ini sebagai contoh untuk memartabatkan tulisan Jawi. Tidakkah kaligrafi Jawi juga secantik dan seseni tulisan Cina?
Mungkin mulai hari ini orang-orang Melayu yang memiliki bangunan, kedai atau apa sahaja aset bolehlah menjadikan tulisan Jawi sebagai salah satu tulisan pada papan perniagaan mereka. Megahlah dengan tulisan warisan bangsa sendiri sebagaimana masyarakat Cina megah dengan tulisan warisan mereka.
Produk-produk keluaran ahli perniagaan Melayu-Islam juga boleh menggunakan tulisan Jawi yang sekaligus memudahkan orang-orang muslim untuk mengenali produk keluaran saudara seagama mereka.
Kan sekarang ini tengah hangat dengan kempen Buy Muslim First. Tulisan Jawi sebenarnya kaedah terbaik untuk mempromosikan produk masyarakat Islam.
Makanya, masyarakat Melayu dan Islam ikutlah perjuangan Tunku Azizah memartabatkan tulisan Jawi. Kita tidak harus membiarkan Raja Permaisuri Agong yang kita cintai itu berseorangan berjuang menghidupkan tulisan Jawi!
Sumber: https://ift.tt/2tbEBw2
from Sehinggit Media News https://ift.tt/37AU9Zb
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/35mZXUz
via MerahHatiCintaku.blogspot.com