Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Lumrah bagi seorang yang bergelar manusia yang sentiasa alpa dan melakukan kesilapan. Tidak pernah terlepas daripada melakukan perkara yang sia-sia ketika hayatnya. Walaubagaimana pun, dalam keadaan alpa dan lalai, masih ada lagi orang yang sentiasa muhasabah tentang dirinya. Sentiasa tanya pada dirinya. Apa yang telah aku buat sepanjang hari ini? adakah baik atau adakah sebaliknya?
Jawapan yang diberikan oleh hati dan fikiran saat itu mungkin,
“Tidak ada apa-apa yang istimewa dan bermakna”
atau,
“Aku telah lakukan sesuatu yang bermanfaat buat diri dan orang lain”
Wahab bin Munabih menyebutkan dalam Kitab Hikmah Alu Dawud, bahawa orang-orang yang berakal mestilah tidak mensia-siakan empat waktu iaitu:
Waktu Bermunajat Kepada Allah
Munajat ialah dialog antara hamba dan Tuhannya. Bererti orang yang benar-benar tahu menghargai waktu dan ruang yang Allah berikan adalah orang yang memperuntukkan masanya untuk berdialog dengan Allah.
Munajat boleh dilakukan pada waktu sepertiga malam, setelah melakukan solat-solat sunat dan zikir. Saat itulah, kita boleh berdoa dan meluah segala rasa kepada Allah dalam suasana yang sunyi dan tenang.
Waktu Untuk Bermuhasabah
Muhasabah pula adalah tempoh keadaan di mana seseorang melakukan refleksi terhadap dirinya sendiri. Apa yang telah dilakukan, apa yang masih boleh diperbaiki dan apa pula yang ingin dilakukan pada masa akan datang.
Malah ulama juga menekankan bahawa proses muhasabah atau menilai diri sendiri ini perlu dilakukan untuk aspek yang berbeza-beza.
Pertama, seseorang itu perlu bermuhasabah dalam perkara yang wajib dan haram – adakah sudah dipelihara? Seterusnya, bermuhasabah terhadap perkara yang melalaikan atau tidak. Bagi anggota badan – seseorang itu perlu bermuhasabah ke mana ia digunakan. Terakhir adalah dalam urusan niat – adakah niatnya sentiasa dijaga untuk Allah semata-mata?
Baca: Redha Dengan Ujian Yang Menimpa, Allah Cuci Dosa Kita
Saat Bertemu Dengan Rakan-Rakan Yang Soleh
Rakan boleh menjadi orang yang menarik kita ke taman Syurga atau ke jurang neraka kelak. Rasulullah SAW menyebutkan bahawa sahabat yang soleh juga boleh memberi syafaat kepada temannya kelak. Orang yang tahu tentang kelebihan ini akan memelihara masa saat bersama temannnya.
Kelak, sahabat yang soleh akan merayu kepada Allah supaya teman yang pernah sama-sama melakukan kebaikan ketika di dunia dapat dikeluarkan daripada neraka. (HR. Bukhari dan Muslim)
Saat Menikmati Nikmat Yang Halal
Nikmat yang halal ini adalah apa sahaja yang dikategorikan halal dalam Islam, sama ada makanan, harta, tempat tinggal dan juga pasangan.
Biasanya sukar untuk kita menghargainya sesuatu yang masih berada dalam genggaman. Oleh kerana kita terbiasa dengan kewujudannya maka segalanya terasa biasa. Saat inilah saat yang paling perlu kita bersyukur atas nikmat yang diberikan.
Bayangkan jika kita diuji dengan kehilangan harta benda, rumah terbakar, kereta rosak atau pasangan ditakdirkan berpisah dengan kita kerana perceraian atau kematian, maka saat itu baru kita benar-benar tahu erti menghargai nikmat yang diberikan oleh Allah.
Kesimpulan
Masa adalah suatu yang rahsia, yang kadang-kadang tidak kita fahami tentang hakikat kewujudannya. Malah masih banyak lagi kajian yang dilakukan tentang masa. Allah bersumpah dengan masa dalam Al-Quran bagi menunjukkan besarnya peranan waktu dalam hidup seorang manusia dan yang paling penting adalah bagaimana untuk menghargainya.
Sumber: Tzkrh
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2UpYJWp
via Denaihati.com