Sunday, 29 March 2020

Pekerja Pembersihan Disyaki Curi Penutup Hidung Dan Mulut Milik Hospital


KUANTAN: Seorang pekerja syarikat pembersihan ditahan kerana disyaki mencuri 30 kotak penutup hidung dan mulut yang setiap satu berisi 50 keping, milik Hospital Kuala Lipis yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata suspek lelaki yang berusia 26 tahun itu dipercayai mencuri penutup hidung dan mulut tersebut dari stor sebuah wad di hospital itu pada waktu tengah hari, Jumaat lalu (27 Mac).

Katanya, kehilangan penutup hidung dan mulut itu disedari seorang jururawat bertugas pada 4 petang hari sama, apabila hanya lima kotak sahaja berada di rak sedangkan kiraan pada waktu pagi mengesahkan sebanyak 35 kotak peralatan itu berada di situ.


"Pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di wad itu mendapati suspek yang mengenakan seragam sebuah syarikat berdaftar dengan Kementerian Kesihatan masuk ke stor pada 12.58 tengah hari.

"Suspek didapati keluar dari wad kira-kira dua minit kemudian dengan membawa satu plastik sampah berwarna hitam yang dipercayai mengandungi topeng muka tersebut," katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

Azli berkata siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan tidak mempunyai keperluan untuk masuk ke stor tersebut kerana bekerja di bahagian pembersihan.

Katanya, suspek ditahan pada Sabtu, di bandar Kuala Lipis bersama penutup hidung dan mulut itu dan kini direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. -- BERNAMA


from Sehinggit Media https://ift.tt/3dAz5Gd
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2wNohDN
via MerahHatiCintaku.blogspot.com