Friday, 27 March 2020

Pengumuman Bernilai RM250 Bilion Itu Ringankan Gelisah Rakyat - Anwar


PAKEJ Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) mampu menyelesaikan sebahagian tekanan yang dialami rakyat terutama mereka yang terjejas dengan Covid-19.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman bernilai RM250 bilion itu mengambil kira kegelisahan dan suara rakyat.

"Nampaknya kali ini beliau cuba memberikan pendekatan program rangsangan lebih menyeluruh.

"Secara keseluruhannya saya merasakan rangsangan ini nampaknya cuba menyelesaikan sebahagian tekanan, ia tak dapat bantu semua kerugian, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka yang terbabit dengan malapetaka Covid-19.

"Untuk petani, nelayan, siswa, B40, pasukan keselamatan, barisan petugas hadapan kesihatan yang terbabit dalam usaha memerangi masalah ini, saya sokong sepenuhnya nampak benar-benar prihatin bantu mereka," katanya menerusi siaran langsung dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

Di sebalik itu, katanya, kerajaan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) harus meneliti kembali kaedah pembayaran balik pinjaman yang mengenakan faedah sepanjang tempoh berkenaan.


"Kena ingat, RM100 bilion memang tanggungjawab bank, tetapi kadar faedah masih dikenakan ini satu kesilapan besar.

"Maknanya orang tidak meniaga contohnya mengalami kerugian, tetapi cukup tempoh enam bulan kena bayar balik hutang dan faedah.

"Ini harus diteliti semula oleh kerajaan khususnya BNM supaya ketepikan faedah dikenakan," katanya.

Beliau turut mengesyorkan Perdana Menteri memberi pertimbangan supaya rangsangan berkenaan dibahaskan di Dewan Rakyat bagi membolehkan penyaluran telus dan dipantau dengan lebih baik.

"Pengalaman mengajar kita, perinci pelaksanaannya (bagaimana) supaya sampai terus, ketirisan, potongan atau rompakan kecil-kecilan ini harus diteliti supaya jangan diberikan kepada ahli politik atau pegawai yang mempunyai rekod buruk sebelum ini.

"Di negara demokratik seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia mereka serahkan rangsangan ini untuk dibahaskan di parlimen dan diawasi supaya dipertanggungjawakan.

"Saya syorkan Perdana Menteri memberi pertimbangan serius dan ruang kepada semua pihak membahas dan memberi sokongan dengan maksud memperbaiki supaya Gayah ke Maksom atau abang Mat ke dapat jaminan peruntukan yang dijanjikan dan kemudian diangkat semula tahap pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sumber: Harian Metro


from Sehinggit Media https://ift.tt/2vTQecT
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2WMrpur
via MerahHatiCintaku.blogspot.com