Monday, 28 December 2020

JAKIM akan perketat piawaian halal daging import dan ditambah baik

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata piawaian halal terutamanya yang membabitkan daging dan produk daging yang diimport akan ditambah baik dan diperketatkan kerajaan.

Beliau juga berkata, pihak halal (Bahagian Pengurusan Halal) JAKIM dan beliau sendiri akan melihat dari masa ke masa mengenai cara pengurusan ke atas semua produk.

Memandang dengan dua sudut

“Saya lihat, dalam isu ini, kita perlu memandangnya dengan dua sudut berbeza iaitu pertama adalah daripada segi undang-undang yang mana mereka yang sudah menyalahi undang-undang perlu dibetulkan semula.

“Manakala isu kedua, ada perkara yang tidak perlu kepada halal Jakim. Contoh, apabila membabitkan sembelihan korban kita tidak perlu dapatkan pengesahan Jakim.

“Bagaimanapun, jika membabitkan jumlah sumber daging yang banyak seperti di hotel dan sebagainya, kita memang suruh ambil halal Jakim bagi menghilangkan kekeliruan,” katanya.

Perkara ini juga akan dikemas kini dengan lebih mendalam bagi menjaga dan menangani isu halal haram.

Ditanya bagaimana kerajaan dapat memberi jaminan kepada orang ramai mengenai daging import yang halal, Zulkifli berkata, orang ramai boleh merujuk senarai kilang halal yang dikeluarkan oleh Jakim.

“Bukan semua produk import itu tidak halal, malah ada yang sudah dikenal pasti mematuhi pensijilan halal ditetapkan.

“Orang ramai boleh merujuk senarai abatoir dan loji pemprosesan luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia menerusi laman www.dvs.gov.my,” katanya.

Memastikan dapat bekalan makanan yang halal

Ahmad Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula mengulas bahawa perkara ini adalah untuk memastikan masyarakat terutamanya umat Islam mendapat bekalan makanan yang diyakini halal, bersih dan mengikut hukum syarak.

Justeru, penguatkuasaan mengenai kelulusan dan kebenaran untuk mendapat sijil halal akan diperketatkan selain menambah jumlah anggota penguatkuasa JAKIM berdasarkan keperluan.

Hal ini adalah untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan lancar.

Tambah lagi, beliau menyifatkan bahawa aspek perundangan juga akan diambil kira dan dipertingkatkan terutamanya bagi menangani isu kartel daging yang melanda negara baru-baru ini.

Selain itu, pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) akan turut bekerjasama bagi menyelesaikan isu ini.

Sumber: Bernama

The post JAKIM akan perketat piawaian halal daging import dan ditambah baik first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/34Rbxdn
via Denaihati.com