Saturday, 12 December 2020

Solat tetapi tidak khusyuk, apa hukumnya?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Sungguh, nak dapatkan kekhusyukan di dalam solat amatlah susah. Tetapi bagi orang-orang yang menjaga daripada awal nak solat sehinggalah habis, InsyaAllah mereka akan dapat suasana khusyuk ketika solat.

Apa itu khusyuk?

Kata Imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah Rahimahullah: Khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.

Ibn Al-Qayyim juga turut menyatakan pendapat tokoh ulama tasawuf iaitu Imam Junaid Al-Baghdadi Rahimahullah yang berkata Khusyuk adalah perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib.

Ganjaran bagi orang yang khusyuk

Berkenaan ganjaran bagi golongan ini, Allah SWT telah menyatakan akan kejayaan yang diperoleh bagi hamba-hamba-Nya yang khusyuk di dalam solat mereka. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya di dalam surah Surah Al-Mu’minuun (1-2):

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ  الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang beriman. Yang mana mereka itu khusyuk di dalam solat mereka.

Cara-cara untuk mendapat khusyuk dalam solat

Berikut merupakan beberapa cara yang boleh membantu untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat:

Pertama: Mengingati Mati

Mengingati kematian dapat membantu seseorang untuk mencapai kekhusyukan di dalam solat. Nabi S.A.W bersabda,

Maksudnya: Maksudnya: Ingatlah kematian dalam solatmu kerana jika seseorang mengingat mati dalam solatnya, maka ia akan memperelokkan solatnya. Solatlah seperti solat orang yang tidak menyangka bahawa dia masih berkesempatan untuk melakukan solat yang lain. Hati-hatilah dengan perkara yang kelak kamu terpaksa meminta uzur (meralatnya) (kerana tidak mampu memenuhinya). (Hadith Riwayat Al-Baihaqi dalam Kitab Al-Zuhd)

Kedua: Tidak Tergopoh Gapah Dalam Mengerjakan Solat

Di antara cara untuk mendapatkan kekhusyukan di dalam solat adalah dengan melakukannya dengan penuh ketenangan.

Perbuatan gopoh-gapah di dalam solat dengan cara melakukannya dengan laju, tidak ada thoma’ninah (ketenangan) di dalam rukuk dan sujud adalah dilarang oleh Nabi S.A.W.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anh beliau berkata:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W masuk ke dalam sebuah masjid lalu seorang lelaki juga turut masuk ke dalam masjid tersebut dan dia melakukan solat dua rakaat kemudian dia datang ke arah Nabi dan memberi salam kepada baginda. Maka Rasulullah S.A.W menjawab salam tersebut lalu berkata: Pergilah kamu dan solatlah kembali kerana sesungguhnya kamu masih belum solat. (Riwayat Al-Bukhari (793)

Ketiga: Menghayati Makna Bacaan Di Dalam Solat

Di antara cara yang dapat membantu seseorang untuk khusyuk di dalam solatnya adalah dengan meneliti dan menghayati makna-makna bacaan di dalam solatnya. Hal ini kerana, solat adalah saat berdirinya seorang hamba di hadapan Tuhannya. Justeru segala bacaan ayat di dalam solat perlulah difahami dengan baik kerana al-Quran itu sendiri merupakan kalamullah.

Kesimpulan

Jumhur ulama mengatakan bahawa solat yang dilakukan dengan tidak khusyuk tidak membatalkan solat. Manakala jika seseorang melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang kekhusyukan seperti banyak bergerak, berfikir perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat, banyak beralih ke kiri dan kanan, maka perbuatan tersebut adalah dimakruhkan. Walaupun begitu, tidak khusyuk di dalam solat akan mengurangkan pahala solat dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna.

Semoga kita semua menjadi hamba yang menjaga solat lima waktu sehari semalam dan sentisa menjadi hamba yang khusyuk di dalam solat. Amin.

Kredit: Mufti Wilayah

The post Solat tetapi tidak khusyuk, apa hukumnya? first appeared on Denaihati.



from Denaihati https://ift.tt/3m6hdpC
via Denaihati.com