Thursday, 24 December 2020

PNB umum bonus kadar dividen ASB 2020 4.25 sen

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan 31 Disember 2020.

Dalam pada itu, semua urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 Disember 2020 hingga 3 Januari untuk ASB dan ASN yang bertujuan memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Menerusi pengumuman secara live di Facebook Permodalan Nasional Berhad, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, memaklumkan bahawa jumlah pengagihan pendapatan adalah sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta unit pemegang saham ASB bagi tahun ini.

“Pengagihan ini merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit.

“Tahun ini juga sempena sambutan ulang tahun PNB yang ke-30, PNB berbesar hati untuk mengumumkan pengagihan Ehsan sebanyak 0.75 sen seunit untuk 30, 000 unit pertama kepada semua pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,” katanya.

Menurutnya lagi, sejak ditubuhkan pada 1990, pembayaran agihan pendapatan terkumpul PNB berjumlah sebanyak RM211.4 bilion.

Pada tahun 2019, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Pada 2018, dividen sebanyak 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit diumumkan manakala, pada 2017 (dividen 7.00 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit) termasuk tambahan 1.00 sen seunit bagi bonus khas ulang tahun PNB.

Pada 2016, PNB mengumumkan agihan dividen sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit manakala, pada 2015 (dividen 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit).

Pengumuman agihan pendapatan pada 2019 adalah pulangan terendah dalam sejarah.

Secara ringkasnya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) merupakan dana amanah pelaburan khusus untuk kaum bumiputera Malaysia. Objektif dana ini adalah untuk menyediakan satu cara simpanan alternatif bagi Bumiputera Malaysia.

Selain itu, ia bertujuan untuk menjana pulangan jangka panjang yang konsisten dan berdaya saing kepada pelabur-pelabur.

The post PNB umum bonus kadar dividen ASB 2020 4.25 sen first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/34HbzEw
via Denaihati.com