Kuala Lumpur : PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menamatkan perkhidmatan tambah nilai ‘Touch ‘n Go’ di semua lorong keluar di plaza tol Wilayah Utara dan Selatan mulai 5 Nov ini.
PLUS, dalam kenyataan hari ini, berkata langkah tersebut dilakukan bagi mengurangkan kesesakan ekoran aktiviti tambah nilai di semua plaza tol di Wilayah Utara (antara Hutan Kampung dan Ipoh Utara) dan Wilayah Selatan (antara Seremban dan Skudai).
”Berdasarkan statistik, dianggarkan lapan peratus daripada 253,000 trafik harian di Wilayah Utara dan sembilan peratus daripada 189,000 trafik harian di Wilayah Selatan menggunakan perkhidmatan tersebut.
”Ini menyumbang kepada kelewatan yang tidak sepatutnya berlaku ekoran pengguna yang kekurangan baki menyebabkan mereka terpaksa menambah nilai di lorong keluar. Secara puratanya, setiap kali proses tambah nilai akan mengambil masa tiga minit,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, pusat khidmat pelanggan dan lorong tambah nilai di lorong masuk plaza tol terpilih masih disediakan dan beroperasi seperti biasa.
Justeru, pengguna dinasihatkan merancang perjalanan dan memastikan kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya.
”Terdapat lebih 11,000 kemudahan tambah nilai di seluruh negara termasuk di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), stesen minyak, kedai serbaneka, hentian rehat dan pusat beli belah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut PLUS juga bekerjasama dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd bagi memastikan kiosk ‘Touch ‘n Go’ beroperasi dalam keadaan baik setiap masa.
Sumber : Bernama via Siakapkeli
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2C0EG74
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2WzwgNd
via MerahHatiCintaku.blogspot.com