Thursday, 27 February 2020

Neraka Buat Manusia Yang Ingkar Perintah Allah

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Neraka adalah tempat yang Allah SWT cipta buat manusia yang ingkar perintah-Nya. Manusia berdosa yang tidak memohon keampunan Allah SWT juga adalah golongan menempah ruang ke neraka.

Kealpaan manusia beriman kepada Allah SWT dan kegagalan mematuhi perintah-Nya menunjukkan betapa manusia mengharapkan keampunan daripada-Nya.

Baca : Menghuni neraka kerana dosa lisan, jangan jadi “keyboard warrior”

Hanya dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT sahaja yang boleh menyelamatkan manusia daripada termasuk dalam golongan ahli neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

(Surah an-Nisa’, ayat 48)

Ayat itu jelas menunjukkan Allah SWT memiliki sifat Maha Mengasihani (Ar-Rahim) kepada hamba-Nya. Setiap dosa akan diampuni Allah SWT sekiranya diri hamba yang melakukannya itu kembali bertaubat.

Mana-mana hamba Allah SWT yang tidak memperoleh keampunan daripada-Nya adalah golongan yang tidak mengiktiraf keesaan-Nya.

Gambaran neraka dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran. Ia sangat menggerunkan jiwa yang memiliki iman.

Neraka digambarkan sebagai seburuk-buruk tempat tinggal. Firman Allah SWT dalam Al-Quran bermaksud:

Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.

(Surah al-Furqan, ayat 66)

Neraka juga disebut sebagai seburuk-buruk tempat dengan gambaran seksaan yang terdapat di dalamnya.

Padanya terdapat api marak menjulang. Hal itu dinyatakan Allah SWT pada ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah melaknat orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang.

(Surah al-Ahzab, ayat 64)

Bahan bakar api neraka pula terdiri daripada manusia dan batu-batu yang asalnya adalah berhala sembahan manusia di dunia. Firman Allah SWT bermaksud:

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir.

(Surah al-Baqarah, ayat 24)

Banyak lagi gambaran neraka yang dijelaskan Allah SWT dalam Al-Quran. Tujuan gambaran ini diberikan adalah untuk memberi keinsafan kepada manusia. Dengan memahami gambaran neraka, orang yang ingin melakukan dosa dapat menghentikan keinginannya.

Baca : Tangisan ahli neraka yang dahsyat

Orang yang melakukan dosa pula dapat segera kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat. Begitulah sayangnya Allah SWT kepada hamba-Nya agar neraka itu dijauhi dan syurga didekati dengan melakukan amal ibadat supaya akhirnya kita dapat menjadi penghuni di syurga.

Wallahu’alam. Dah baca? Klik share 🙂

Semoga kita dijauhkan dari azab api neraka. Aminn



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2I0TEgs
via Denaihati.com