Thursday, 27 February 2020

Surah Yasin atau Surah Al-Kahfi, Mana yang Menepati Sunnah Nabi dan Mazhab Syafie?

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Seringkali menjadi perbalahan mengenai dua surah yang popular bila datangnya Hari Jumaat penghulu segala hari. Sama ada Surah Yasin atau Surah Al-Kahfi, mana yang menepati Sunnah Nabi dan Mazhab Syafie?

Kebiasaan masyarakat Malaysia bila tibanya malam jumaat, mereka akan membaca Surah Yasin berbanding Surah Al-Kahfi. Saya tidak mengatakan bahawa membaca Surah Yasin itu salah, pahala setiap kali kita baca ayat-ayat Al-Quran adalah tetap sama di sisi Allah.

Cuma, mari kita renungkan beberapa Hadith di bawah

Sabda Nabi SAW :

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيقِ.

Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dia dan Kaabah.”

(Sunan Ad-Darimi. Lihat Shahih al-Jami’ no. 6471)

Sabdanya lagi:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِى يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ.

Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.”

(Sunan an-Nasa’i dan al-Baihaqi. Lihat Shahih al-Jami’ no. 6470)

Berkata Imam as-Syafi’e RA :

وأحب كثرة الصلاة على النبي صلى الله عليه وسلم في كل حال، وأنا في يوم الجمعة، وليلتها أشد استحبابا، وأحب قراءة الكهف ليلة الجمعة، ويومها لما جاء فيها.

Aku suka membanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW pada setiap keadaan dan pada siang dan malam Jumaat, aku lebih-lebih menyukai amalan tersebut. Aku juga suka membaca surah Al-Kahfi pada malam dan siang Jumaat.”

Baca : Dari Baitulmuqaddis singgah di Tasik Tiberia dan Ashabul Kahfi

Jelas di sini bahawa Imam Syafi’e RA lebih banyak dan suka membaca Surah Al-Kahfi pada malam Jumaat berbanding Surah Yasin. Terdapat beberapa kelebihan khusus yang telah disebut oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi.

Antara kelebihannya ialah pengampunan dosa di antara Jumaat dengan Jumaat jika dibaca pada hari Jumaat dan dijauhi fitnah al-Masih ad-Dajjal jika menghafal 10 ayat terawalnya.

(Kitab al-Umm, Kitab as-Solat, Bab Menjawab Panggilan Jumaat, Fasal Apakah Yang Diperintahkan Pada Malam dan Siang Jumaat)

Wallahu’alam. Selamat beramal 🙂



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2waPVKn
via Denaihati.com