GARA-GARA mendedahkan mampu membeli sebuah kereta jenama Toyota Vellfire pada usia 12 tahun, penyanyi dan Bintang YouTube Alyssa Dezek mendapat pelbagai reaksi netizen.
Segelintir netizen menganggap, tindakan ibu bapa kanak-kanak itu membeli sebuah kereta adalah tidak wajar berikutan pendapatan tersebut seharusnya digunakan untuk tujuan pelaburan masa hadapan Alyssa.
Bagi mengulas perkara itu, ibu Alyssa iaitu Suzanne Dezek berkata, mereka menghormati kehendak Alyssa yang mahukan sebuah kenderaan bagi memudahkan perjalanan kerjayanya.
"Pada saya duit tu duit dia, jadi dia yang nak beli Vellfire untuk memudahkan dia pergi penggambaran dan travel jauh untuk keselesaan dia.
"Bab rumah tu kita dah sediakan untuk Alyssa dan adik. Suami saya dah belikan. Simpanan pun memang ada untuk dia sambung belajar," katanya kepada mStar.
Suzanne turut meluahkan rasa kecewa apabila terdapat netizen yang menganggap dia dan suaminya Hafidz Dezek mahu menumpang kesenangan kanak-kanak itu.
Jelasnya, suaminya yang bekerja sebagai ketua jurutera kapal mampu untuk memiliki kereta tersebut dan tidak perlu bergantung kepada pendapatan anak mereka.
"Sebab rata-rata netizen cakap saya dan suami yang nak pakai kereta tu. Padahal tu kehendak dia sendiri, mungkin mereka tak tahu ayah Alyssa bekerja sebagai ketua jurutera kapal. Ayah dia pun mampu," ujarnya.
Bagaimanapun, Suzanne berkata dia hanya mengambil kecaman itu dari sudut positif dan tidak menyalahkan netizen yang tidak mengetahui latar belakang keluarga mereka.
"Tak apa la itu hak mereka nak komen apa pun, mungkin mereka tak tahu siapa ayah Alyssa.
"Yang kenal rapat dengan keluarga kami saja yang tahu. Saya fikir positif saja," jelasnya.
Dalam pada itu, Suzanne berkata, walaupun Alyssa kini aktif dalam dunia hiburan, dia dan suaminya tetap mengutamakan pelajaran untuk anak mereka.
Suzanne juga sentiasa memastikan anaknya mendapat pendidikan yang sewajarnya seperti kanak-kanak lain.
"Sudah tentu kami pentingkan pelajaran, macam sekarang pun Alhamdulillah keputusan peperiksaan dia semua okey.
"UPSR tahun ni tak ada, untuk PT3 dan SPM memang kita nak dia fokus dan saya bekalkan dia tuisyen peribadi, cikgu datang rumah dan mengajar," katanya.
Sebelum ini, Alyssa atau nama sebenarnya Aryanna Alyssa membeli sebuah Toyota Vellfire menggunakan wang yang diperolehi dari video-video nyanyian yang dimuat naik di saluran YouTube yang dikendalikan ibunya, Suzanne sejak lapan tahun lalu.
Alyssa mempunyai lebih 3 juta pelanggan di YouTube sekaligus menjadi selebriti Malaysia paling ramai subscribers.
Sumber: Mstar Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/31XJjwZ
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3iJxLDx
via MerahHatiCintaku.blogspot.com