HULU TERENGGANU: Mayat pertama mangsa lemas tiga beradik di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini, ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian jam 9.50 pagi ini.
Mayat, Umar Iskandar Mohd, 21, ditemui sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terdampar di dasar sungai kira-kira empat meter dari tebing sungai di kedalaman kira-kira lebih satu meter.
Penolong Pengarah Operasi Negeri (PPON), PgKB II, Mohd Basri, berkata mayat dalam keadaan sempurna dan pihaknya meneruskan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa iaitu Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat jam 7 pagi tadi disertai kekuatan anggota seramai 79 orang membabitkan Unit Pengesanan JBPM (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur (lima), Polis (26), PPDA (10), Rela (3), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) (9 dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) seramai 11 orang.
"Kita membuat selaman selepas mendapat petunjuk dari Unit K9 yang turun ke sungai jam 8.50 pagi," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah sepanjang melakukan operasi SAR berikutan keadaan air yang tenang dan berpasir.
Mohd Basri berkata, pihaknya meneruskan operasi SAR dengan pencarian membabitkan radius keluasan dua kilometer menghala ke arah ke laut.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Dalam kejadian semalam, tiga beradik lelaki; Khalif Naim,16, pelajar tingkatan empat Sekolah Imtiaz, Kuala Berang; Khairil Firdaus, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang dan Umar Iskandar 21, yang juga penuntut di Universiti Malaya dikatakan mandi di kawasan sungai kira-kira 200 meter dari rumah mangsa jam 6.30 petang.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2TL8BJP
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3guUzFJ
via MerahHatiCintaku.blogspot.com