PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pegawai kanan yang disahkan positif koronavirus (Covid-19).
Menurut Pejabat Perdana Menteri, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pada Rabu lalu yang turut dihadiri pegawai berkenaan.
"Perdana Menteri menjalani ujian saringan Covid-19 pagi tadi dan disahkan negatif.
"Bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, semua ahli mesyuarat tersebut juga diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.
"Sebagai makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, tular satu memo daripada Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mengesahkan beliau positif Covid-19 dan diarahkan menjalani kuarantin di hospital.
Menurut memo tersebut Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Khalid Khan Abdullah Khan diberikan tanggungjawab untuk mengambil alih tugas sebagai Ketua Audit Negara bagi memastikan tugas-tugas di jabatan itu berjalan dengan lancar dan teratur.
Selain itu, tugas pengauditan kewangan dan tabdir urus masing-masing dikendalikan Timbalan Ketua Audit Negara (tadbir Urus), Datuk Johari Ismail, manakala tugas pengurusan dikendalikan oleh Pengarah Sektor Pengurusan, Putra Nurwan Shah Baharuddin.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/3e8fTyU
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2ZnLt7I
via MerahHatiCintaku.blogspot.com