Wednesday, 27 May 2020

Hukum Pengharaman Arak Dan Hikmahnya

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Wahai saudara-saudaraku, dewasa kini kita telah sama-sama mengetahui bahawa gejala-gejala sosial telah memberikan impak yang negatif didalam masyarakat dunia tidak terkecuali masyarakat Islam.

Kita sedia maklum bahawa arak adalah minuman yang diharamkan dalam agama Islam. Ada sebab Allah mengharamkan arak. Larangan dalam Islam bukan bererti mengongkong tetapi menjaga. Menjaga diri daripada terjerumus dalam kebinasaan dan kerosakan.

Baca : Surah al-Mulk penghalang daripada azab kubur

Arak adalah merupakan UMM AL KHABÂ’ITS iaitu ibu segala najis dan racun. Arak dari segi bahasa ialah menutup, ini adalah kerana arak itu berkeupayaan menutup akal dan fikiran seseorang dari menjadi seorang yang waras.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

– Surah Al-Ma’idah 5:90

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan Nasa’i:

Tiap-tiap yang memabukkan itu arak dan tiap-tiap yang memabukkan itu haram”

Kita tinjau lagi sabda Rasulullah ini yang diriwayatkan oleh Abu Daud:

Allah telah melaknat arak, peminum arak, pembawa arak, pembeli arak, penjual arak, pembuat arak, orang yang minta dibuatkan arak, tukang angkat arak dan orang yang diangkatkan arak kepadanya”

Hukum bagi arak itu meliputi semua aspek iaitu peminumnya, pemerahnya, peminta perahnya, pembawanya, peminta bawakannya, pemberi minumnya, peminta minumnya, penjualnya, pembelinya, peminta belinya, peminta jualnya, pemakan harganya, penyimpannya dan pemiliknya

Jelas hukum meminum arak itu adalah HARAM dan DILAKNAT oleh Allah

Di sini disenaraikan empat hikmah disebalik pengharaman arak. Semoga artikel ‘kecil’ ini dapat merungkai kekusutan dan kemusykilan dalam benak hati kita. Semoga kita semua di dalam rahmatNya. Amin.

1- Menjaga Agama

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Tidak berzina seorang penzina ketika dia berzina dia dalam keadaan beriman. Tidak meminum arak oleh seseorang ketika meminumnya dia dalam keadaan beriman. Dan tidak mencuri seorang pencuri ketika dia mencuri, berada dalam keadaan beriman.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Orang yang beriman dan patuh pada suruhan agama, dia tidak akan sesekali mencuba mendekati bahkan meminum arak.

Arak akan mencemarkan imej dan peribadi seseorang yang beragama Islam. Jelas-jelas Islam melarang umatnya meminum arak. Arak juga akan menjejaskan dan menghalang daripada kualiti solat seseorang.

Bayangkan jika solat dalam keadaan mabuk, ia akan menganggu fokus dan menyebabkan kehilangan akal yang waras. Serta terlupa rakaat, tersilap bacaan dan merosakkan solat. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman, janganlah kamu melakukan solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan.”

Surah an-Nisa’ 4:43


2- Menjaga Kesihatan Tubuh Badan

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk (melaksanakan segala perkara) Ugama yang mudah diterima oleh akal yang sihat.”

Surah Al-A’la 87:8

Menurut laporan di beberapa buah negara Eropah, mereka mengakui bahawa di hospital-hospital bagi setiap tiga buah katil terdapat satu katil yang diduduki oleh pesakit yang disebabkan arak. Ini bermakna satu pertiga pesakit-pesakit di hospital tersebut adalah berpunca dari arak.

Selain itu, arak boleh menyebabkan kerosakan hati. Penyakit ini lebih banyak menimpa kepada orang yang ketagih arak berbanding orang lain pada kadar 6 atau 8 kali ganda. Bukan itu sahaja, ia juga menyebabkan saluran darah tersekat.

Terbuktilah bahawa arak menyebabkan banyak masalah dan penyakit kepada tubuh badan. Oleh itu, pengharaman arak menjadi antara satu langkah awal yang tepat untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita daripada penyakit yang berbahaya.

3- Menjauhi Pembaziran

Meminum arak akan menyebabkan banyak kerugian dan pembaziran. Ketagihan yang melampau akan memberi kesan kepada kewangan.

Sebuah majalah di Britain menganggarkan bahawa kerugian kewangan akibat alkohol dari segi masalah perubatan adalah 640 juta pound dalam setahun. Kerugian keseluruhan akibat daripada minuman memabukkan dianggarkan sebanyak 20,000 juta pound sterling dalam setahun.

Menurut sebuah buku mengenai perubatan pula melaporkan masalah di Amerika, bahawa kerugian negara Amerika akibat kekurangan produktiviti dan kehilangan pekerjaan akibat minuman arak melebihi 71 juta dolar setahun.

Inilah hikmahnya Allah mengharamkan arak. Arak telah menyebabkan pelbagai kesan buruk yang akan menjejaskan sesebuah negara. Sesungguhnya Allah tahu mana yang baik untuk hambaNya.

4- Menjaga Keselamatan Diri, Keluarga dan Negara

Akal akan menjadi tidak waras apabila arak diminum dalam jumlah yang tertentu. Disebabkan itu, sesetengah tingkah laku dan perbuatan dilakukan tanpa sedar dan tidak terkawal.

Banyak kesan buruk yang akan menimpa keluarga dan masyarakat khususnya. Penderaan isteri dan anak-anak, kes rogol, kes kemalangan yang boleh membawa maut dan pelbagai kesan yang membimbangkan. Menurut sebuah buku bertajuk Safe Food mengatakan bahawa:

1. Satu pertiga dari kemalangan jalan raya berpunca daripada arak.
2. Satu perlima dari pencabulan seksual atas kanak-kanak adalah disebabkan arak.
3. Satu perdua daripada korban kebakaran adalah disebabkan arak.

Arak walaupun ianya hanya minuman tetapi ia memberikan impak yang negatif dan besar kepada akal manusia dan membolehkan seseorang itu dapat melakukan sesuatu yang diluar dari jangkaan.

Baca : Amalkan Surah Al-Waqiah setiap hari, dikurniakan pelbagai bentuk rezeki

Oleh itu, janganlah sesekali teringin untuk mencuba minuman yang memabukkan ini. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada si peminum, malah kepada keluarga, masyarakat dan bahkan negara turut menerima tempiasnya.

Wallahu’alam. Sila share 🙂



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3c8BcyI
via Denaihati.com