Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Sepertimana yang telah di syarahkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini, berikut merupakan penerangannya;
Hadis diriwayatkan oleh Imam Al-Tabarani daripada Ubadah Bin Somit bahawa Nabi SAW bersabda :
مَنْ َصلَّى لَيلَةَ الفِطْرِ وَالأَضْحَى لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ القُلُوب
Maksudnya : “Sesiapa yang mendirikan solat (sama ada solat fardhu atau sunat) pada malam hari raya aidilfitri dan aidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana matinya hati-hati (manusia).” [Riwayat Al-Tabarani (159) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat]
Al-Haithami menyatakan bahawa hadis ini merupakan hadis yang lemah. Kerana di dalam sanadnya terdapat seorang perawi yang bernama Umar Bin Harun Al-Balkhi.
Beliau adalah seorang yang lemah hafalannya. Walaupun beliau dipuji oleh Abdurrahman Bin Mahdi namun beliau dikritik hebat oleh oleh kebanyakan pakar hadis di zamannya. (Rujuk Majma’ Al-Zawaid Wa Manba’ Al-Fawaid, 2/233).
Oleh itu, hadis-hadis berkenaan menghidupkan malam hari raya kebanyakannya adalah hadis yang lemah.
Namun begitu, kami melihat bahawa hadis-hadis tersebut termasuk di dalam fadhail ‘amal iaitu berkenaan kelebihan-kelebihan beramal. Ia bukannya berkaitan dengan hukum hakam sama ada halal atau haram.
Jumhur para ulama membenarkan untuk beramal dengan hadis yang dhoif selagi mana ianya berkaitan dengan fadhail ‘amal. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi.
Rentetan daripada itu, kami melihat bahawa harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara seperti berikut;
- ketaatan seperti solat berjemaah
- solat sunat
- membaca Al-Quran
- bertasbih
- istighfar
- bertakbir dan sebagainya
Inilah cara yang paling terbaik untuk menutup lembaran Ramadhan.
Bahkan, Imam Al-Nawawi menyebut bahawa harus untuk menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara ketaatan dan ibadah.
Inilah juga saranan yang telah diberikan oleh Imam Al-Syafi’I di dalam kitabnya Al-Umm. Walaupun hadis-hadis berkenaan menghidupkan malam hari raya adalah hadis yang dhoif namun ianya dibenarkan kerana hanya melibatkan fadhail amal.
Dikatakan juga bahawa doa mustajab berlaku pada lima malam. Malam tersebut ialah malam jumaat, malam hari raya aidilfitri dan aidiladha, malam bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban.
Beliau bercerita bahawa para masyaikh di Madinah di zamannya pergi ke masjid. Mereka berdoa, bertasbih,bertakbir, berzikir dan beramal pada malam hari raya. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 5/42).
Melihat kepada apa yang telah disebutkan, marilah kita sama-sama menghidupkan malam hari raya dengan perkara-perkara yang boleh mengingatkan kita kepada Allah.
Di samping kita membuat persiapan untuk menyambut syawal, jangan kita terlalu seronok sehingga terlupa bahawa kita adalah hamba Allah. Jangan kita tutup bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat kepada Allah SWT.
Dengan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin kepada semua pembaca Blog Denaihati.com dan kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Salam kosong-kosong. #KitajagaKita #CegahCovid19
Sumber rujukan: Mufti Wilayah
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3cZ1J2K
via Denaihati.com