KUALA LUMPUR: Trafik keluar dari ibu negara melalui tiga plaza tol utama iaitu di Jalan Duta, Gombak dan Sungai Besi dilaporkan lenggang seawal jam 8 malam tadi.
Kebiasaannya, pada malam musim perayaan tahun-tahun sebelum ini, Plaza Tol Gombak akan dibanjiri puluhan ribu kenderaan menuju ke Pantai Timur, namun suasana sangat berbeza malam ini berikutan larangan rentas negeri dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ini adalah satu perkara positif dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam mematuhi saranan kerajaan untuk tidak melakukan pergerakan rentas negeri pulang berhari raya di kampung.
"Apa yang sangat menggembirakan ialah 95 peratus rakyat negara kita turut bersama membantu mencegah penularan dan penyebaran COVID-19 ini dan kita sedang berusaha mengesan lima peratus yang degil mengingkari arahan kerajaan.
"Saya turut dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bahawa jumlah kenderaan yang hendak keluar dari Lembah Klang hari ini, amat jauh berkurangan berbanding sebelum ini," katanya
Terdahulu, beliau meninjau penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Gombak.
Abdul Hamid berkata pihaknya juga yakin terhadap pematuhan dalam kalangan rakyat Malaysia pada hari raya pertama esok, namun akan memantau sebarang usaha untuk rentas negeri.
"SJR yang diadakan ini akan berterusan sehingga seminggu selepas Aidilfitri dan hanya ditutup sekiranya ada arahan-arahan terbaru dikeluarkan oleh kerajaan.
"Seperti yang sering kali saya tegaskan sebelum ini, tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (ATM) adalah mengekang penularan COVID-19 antara lokasi.
"Selain itu, pergerakan Pasukan Pemantau PDRM diwujudkan di setiap kontinjen dan daerah dengan turut disertai pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan dan kepada semua rakyat Malaysia yang sering bekerjasama dan mematuhi setiap arahan PDRM dan ATM semasa PKPB.
"Terima kasih kerana pengorbanan anda dan pihak polis amat gembira dengan kerjasama anda dalam membantu kami dengan mematuhi segala arahan yang diberikan," katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2ywNH9Q
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2A1lOqH
via MerahHatiCintaku.blogspot.com