Sunday, 24 May 2020

Walaupun Suasana Lebaran Berbeza, ATM Tetap Komited Galas Tanggungjawab - Panglima ATM


KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa menyambut lebaran dalam suasana yang berbeza pada tahun ini, ia tidak sama sekali melunturkan semangat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjalankan tugas sebagai barisan hadapan negara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata semangat para tentera kekal utuh meskipun tidak dapat pulang beraya bersama-sama keluarga di kampung halaman masing-masing.

Affendi berkata, ATM tetap komited menjalankan tugas dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan biarpun berdepan dengan musuh yang tidak terlihat oleh mata kasar.

Antara tugas yang diamanahkan kepada ATM adalah membuat rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memastikan rakyat, khususnya umat Islam, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kami telah pun melakukan Perintah Kawalan Pergerakan ini sudah menjangkau 60 lebih hari.

“Apa yang saya lihat sebelum bulan puasa, dan melalui bulan puasa, komitmen ynag diberikan anak buah saya amat tinggi dan tidak pernah luntur walaupun terpaksa bertugas di panas, di hujan, di ribut dan menghadapi pelbagai karenah semasa menggendalikan penguatkuasaan ini dengan orang ramai.


“Saya tidak melihat kelunturan dari segi semangat mereka untuk memastikan tugas mereka dijalankan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu pada segmen Booth Ucapan Raya dalam rancangan Lebaran AWANI sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Affendi pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada semua warga ATM kerana sentiasa melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti tinggi.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas daya usaha yang ditunjukkan warga ATM semasa negara mengalami masalah wabak ini.

“Kami melihat kesan yang amat positif di mana negara kita adalah antara negara yang terbaik dalam menangani wabak ini.

“Oleh itu, terus jalankan tanggungjawab anda dengan lebih komited berdedikasi dan saya percaya para perajurit saya akan sentiasa memberi yang terbaik kepada negara kita,” katanya.

Sememangnya, kesanggupan setiap anggota dan pegawai yang meninggalkan keluarga pada hari raya demi memastikan keselamatan awam merupakan satu pengorbanan terpuji.

Sumber: Astro Awani


from Sehinggit Media https://ift.tt/2yr1iiK
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2XlmS0C
via MerahHatiCintaku.blogspot.com