DUNGUN: "Tolong ayah, sakit sangat ayah kakak dah tak tahan ayah, tolonglah ayah," itu rintihan Nur Nazihah Mohd Sabri yang membuatkan bapanya sering menangis apabila teringatkan rayuannya itu.
Nur Nazirah yang berusia lapan tahun, murid Sekolah Rendah Kebangsaan Ketengah Jaya 2, Dungun disengat tebuan Jumaat lalu ketika bermain di kawasan semak berhampiran rumahnya di FELDA Kerteh 4, kira-kira jam 3 petang.
Mangsa, anak ketiga daripada lima beradik itu gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu, kira-kira jam 1.35 pagi ini.
Bagaimanapun, adiknya Muhammad Azib, 6 tahun yang turut disengat tebuan dilaporkan stabil dan kini menerima rawatan di hospital yang sama.
Bapanya, Mohd Sabri Mohd Nor, 41, berkata ketika kejadian dia sedang membaiki dapur rumah ibunya di Bandar Paka manakala isterinya, Rohayu Mat Lazim, 39, tinggal di rumah bersama lima anaknya.
"Saya dimaklumkan kedua-dua anak termasuk seorang kakak mereka berusia 11 tahun serta dua rakan mereka bermain di situ dalam jarak 50 meter dari rumah saya.
"Muhammad Azib yang dalam kesakitan berlari pulang memberitahu ibunya bahawa Nazihah diserang tebuan," katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Kerteh 4, hari ini.
Katanya, isterinya berlari mendapatkan anaknya itu sebelum menghubungi dan memberitahu terdapat banyak sengatan di badan Nazihah.
"Saya ingat itu sengatan lebah dan bila isteri memberitahu ada beberapa kepala berwarna hitam dan besar melekat di baju Nazihah, saya tahu itu tebuan dan meminta isteri segera mengejarkan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.
"Saya bergegas dan sebaik sampai di Klinik Kesihatan, keadaan Nazihah masih sedar dan tidak putus-putus merengek sakit yang amat, "katanya.
Menurutnya, dia sungguh terkejut selepas melihat banyak kesan sengatan di dada, perut dan tangan kanan anaknya itu yang dianggarkan melebihi 50 sengatan.
"Saya sering menangis dan tak sanggup melihat kesakitan yang ditanggung Nazihah dan saya hanya mampu meminta Nazihah bersemangat kuat menahan kesakitan itu.
"Nazihah kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ dan sepanjang jumaat dan sabtu Nazihah masih sedar.
"Bagaimanapun, sejak malam tadi, dia semakin lesu dan tidak sedarkan diri sehinggalah dia meninggal di depan saya," katanya.
Mohd Sabri berkata, dia sering menasihati anak-anaknya supaya tidak bermain di kawasan semak di situ kerana sebelum itu dia telah terjumpa satu sarang tebuan.
"Selepas sebulan lebih, saya dapati sudah tiada tebuan di dalam sarang itu dan tidak menyangka tebuan itu membuat sebuah lagi sarang di kawasan anak saya disengat," katanya.
Katanya, anak-anaknya itu tidak pernah bermain jauh dari kawasan rumah kerana dia sering memantau dan menasihati mereka tidak bermain di kawasan berbahaya sepanjang masa.
"Apa boleh buat, saya perlu reda dengan apa yang berlaku, kerana setiap perkara yang berlaku itu sudah ditentukan Allah," katanya.
Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Kerteh 4&5 kira-kira jam 11 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pihaknya telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menjumpai sarang terbabit sebesar sebiji bola sepak.
"Itu tebuan biasa dan bukan tebuan tanah dan pihak kami akan menjalankan kerja memusnahkan sarang terbabit dengan segera," katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2XOKPxp
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2Xk4qqv
via MerahHatiCintaku.blogspot.com