Saturday, 2 May 2020

5 Jenis Solat Sunat Yang Mampu Selesaikan Masalah Yang Kita Hadapi

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Ada 5 jenis solat sunat yang WAJIB kita tahu sebagai amalan tambahan dan juga mampu menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Kita juga disarankan untuk melakukan solat sunat yang boleh memberikan kita ganjaran pahala bagi yang melakukan.

Jom kita ketahui jenis-jenis solat sunat dan pengertiannya.

1- Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha sering dikaitkan dengan amalan untuk mendapat rezeki yang luas dan dipermudahkan urusan harian.

Solat sunat Dhuha bermaksud solat sunat yang dikerjakan pada waktu dhuha, iaitu pada saat matahari telah naik lebih kurang setinggi sebatang galah (kira-kira 20 minit selepas terbit matahari ) hinggalah matahari berada tepat di tengah- tengah langit (sebelum menjelang Zuhur). Boleh buat 2 rakaat atau lebih (sehingga 6 rakaat).

Dengan mengamalkannya, seseorang itu akan memperolehi rezeki yang melimpah-ruah serta hati yang tenang.

Baca : Wasiat Rasulullah SAW; Solat Sunat Dhuha

2- Solat Sunat Tahajjud

Solat sunat Tahajjud untuk memudahkan segala urusan. Dalam surah Al-Isra’, Allah berfirman, mafhum-Nya :

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

Solat sunat Tahajjud oleh dibuat apabila terjaga di waktu malam selepas tertidur sebentar. Solat sunat ini dilakukan selepas daripada waktu Isyak sehingga terbit fajar.

Sebaik-baiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar. Solat sunat ini dilakukan sekurang- kurangnya dua rakaat secara bersendirian. Lakukanlah seberapa banyak yang termampu.

3- Solat Sunat Hajat

Solat hajat dan doa sebenarnya adalah senjata umat Islam. Solat sunat hajat biasanya dilakukan apabila seseorang Muslim itu memiliki sebarang hajat atau kehendak yang ingin dipinta terus kepada Allah SWT.

Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seseorang manusia, maka hendaklah ia berwhuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua rakaat.”

(Riwayat At-Tarmizi)

Antara hajat yang biasa kita dengar dikalangan masyarakat Malaysia ialah seperti hajat pelajar inginkan keputusan yang cemerlang, hajat ibu bapa mahukan anaknya berubah daripada keburukan kepada kebaikan, hajat mahu anak dengar kata, hajat mahukan sejumlah harta, hajat mahukan calon pasangan isteri atau suami dan sebagainya.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu.

Baca : Doa Sewaktu Bersujud dan Keistimewaannya

4- Solat Sunat Istikharah

Islam sebenarnya mengajar umatnya agar melakukan solat sunat berkenaan apabila menghadapi masalah yang sukar diselesaikan atau keliru dengan sesuatu keputusan.

Rasulullah SAW bersabda:

Jika salah seorang daripada kalian berasa berat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah dia solat dua rakaat, kemudian berdoa (doa istikharah).” 

(Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menggambarkan fungsi solat Istikharah yang kurang diendahkan oleh kebanyakan orang. Masakan tidak, ketika menghadapi masalah, ramai yang tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk menyelesaikan kesulitan berkenaan.

Ia boleh dilakukan sebanyak dua rakaat atau sehingga 12 rakaat dengan enam salam. Kepada mereka yang hendak menunaikannya, ia boleh dilakukan sama ada pada waktu siang atau malam.

Doa yang dibaca semasa solat berbunyi seperti berikut:

Ya Allah, sesungguhnya aku meminta petunjukMu dalam pengetahuanMu, aku meminta kekuatanMu dengan kemampuanMu, dan aku mengharapkan daripada kurniaMu yang Agung. Maka sesungguhnya Engkau mampu dan aku tidak mampu, Engkau tahu dan aku tidak tahu dan Engkau Maha Mengetahui segala perkara ghaib. Ya Allah jika Engkau tahu bahawa urusan ini baik bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan natijah urusanku, maka mampukanlah ia bagiku dan permudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah padanya bagiku. Dan jika Engkau tahu bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agamaku, kehidupanku dan natijah urusanku, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Takdirkanlah kebaikan padaku, di mana-mana pun ia, kemudian redhakan lah aku padanya.

Maka sebelum itu, ada tiga langkah perlu tahu iaitu:-

1. Persediaan– Gunakan rasional dan nilai keadaan sendiri. Lakukan penyelidikan awal terlebih dahulu.

2. Istisharah (minta pandangan)– Tanyakan pendapat mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan.

3. Istikharah (minta kebaikan)– Sekiranya selepas mengurangkan pilihan, kita masih menghadapi kesukaran membuat keputusan, di sinilah istikharah memainkan peranan untuk memberi kita keyakinan dan kejelasan

Baca : Solat Sunat Istikharah Bukan Hanya Untuk Minta Jodoh Sahaja

5- Solat Sunat Tasbih

Solat sunat Tasbih dilakukan ketika kita mengalami gelisah dan keluh kesah.

Jika kamu mampu Solat Tasbih setiap hari, maka lakukanlah. Jika tidak mampu maka lakukanlah setiap hari Jumaat atau sebulan sekali atau setahun sekali atau seumur hidup sekali.”

(Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

Solat sunat Tasbih merupakan solat sunat yang terdapat sebanyak 300 tasbih. Solat sunat tasbih dianjurkan supaya dikerjakan sekurang-kurang sekali seumur hidup. Solat sunat tasbih ada empat rakaat, dengan ketentuan jika dikerjakan pada siang hari cukup dengan satu salam. Jika dikerjakan pada malam hari dengan dua salam.

Cara mengerjakan solat tasbih ialah dengan membaca tasbih 15 kali sesudah membaca surat AlFatihah, 10 kali tasbih ketika rukuk, 10 tasbih ketika iktidal, 10 tasbih ketika sujud pertama, 10 tasbih ketika duduk antara dua sujud, 10 tasbih ketika sujud kedua, dan 10 tasbih ketika duduk rehat sebelum bangun berdiri / memberi salam. Ulangi 75 tasbih ini untuk empat rakaat.

Baca : 8 Jenis Rezeki Yang Di Sebut Dalam Al-Quran

Ajaran dalam agama Islam cukup lengkap untuk mencari semua jawapan pada persoalan yang kita ingin tahu dan mahu tahu. Al-Quran dan Hadis itu adalah pelengkap kehidupan dan tidak boleh ditinggalkan sama sekali.

Wallahu’alam. Semoga bermanfaat untuk semua 🙂

DAH BACA? SILA SHARE

Baca : Anehnya Doa Nabi Yunus A.S



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2yoV575
via Denaihati.com