Wednesday, 20 May 2020

Gadis Berkorban Demi Ibu Koma Dan Abang Hilang Ingatan


KOTA BHARU - Seorang gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa melupakan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi apabila menjaga ibunya yang koma selepas terlibat kemalangan langgar lari di Lebuhraya Kadok-Ketereh berhampiran Kampung Tiong di sini 13 Mac lalu.

Dalam kemalangan pada jam 6.30 pagi, abang sulungnya, Nik Zulfakar Daud, 25, mengalami cedera parah di kepala menyebabkannya hilang ingatan dan tidak mampu lagi bekerja.

Nik Siti Aliza Daud, 18, berkata, bermula detik itu, kehidupannya berubah apabila terpaksa memberikan tumpuan penuh kepada ibunya, Kumariah Barung, 56, yang memerlukan penjagaan rapi.

"Ibu bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen untuk meneruskan hidup. Selain itu susu seberat 850 gram menjadi makan utama untuk ibu mendapatkan bekalan tenaga.

"Setiap hari ibu perlu diberi minum susu sebanyak lima kali sehari. Satu tin susu itu hanya mampu bertahan sekitar tiga hari kerana ia merupakan makanan ruji ibu," katanya ketika ditemui di Kampung Hutan Kulim, Melor.


Menurutnya, kemalangan itu menjejaskan sumber pendapatan keluarga apabila ibu dan abang yang sebelum ini menjadi tonggak keluarga dengan bekerja sebagai pembantu kedai di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong tidak lagi dapat bekerja.

"Saya ada empat adik- beradik dan salah seorang daripada kami sudah berkahwin.

"Seorang lagi abang yang berusia 20 tahun bekerja kilang di Kuala Lumpur terpaksa berhenti kerja kerana pulang ke kampung membantu menjaga ibu," katanya.

Nik Siti Azila berkata, ketika ini dia bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya bersyukur kerana mempunyai jiran yang cukup cakna dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada keluarga.

"Rumah yang kami sewa sebanyak RM170 sebulan sekarang ini ditanggung sepenuhnya oleh guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor," katanya yang kematian ayah sejak lima tahun lalu.

Nik Siti Aliza berkata, dia juga turut berdepan bayaran baki rawatan ibunya yang berjumlah RM40,000.

"Jumlah keseluruhan bil hospital berjumlah RM46,000. Namun saya telah berjaya langsaikan RM6,000 dahulu hasil sumbangan orang ramai, jiran dan warga SMK Melor bagi membolehkan ibu dibawa pulang ke rumah," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 03114-41-00002416-6 atas nama Nik Siti Aliza Daud.

Sumber: Sinar Harian


from Sehinggit Media https://ift.tt/2ZjMayH
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2zeAJhe
via MerahHatiCintaku.blogspot.com