Saturday, 2 May 2020

Petugas Barisan Hadapan Ditawar Penginapan Percuma Di Langkawi Selepas PKP


LANGKAWI: Tujuh hotel di sini menawarkan penginapan percuma untuk petugas barisan hadapan bercuti di pulau peranginan itu, bagi menghargai pengorbanan mereka memerangi COVID-19.

Malah, wira negara pelbagai pangkat terbabit turut ditawarkan tiket percuma memasuki tempat pelancongan utama dan melakukan aktiviti menarik di pulau itu.

Jurucakap pengusaha hotel dan produk pelancongan di sini, Razmi Rahmat berkata, tawaran itu berkuatkuasa serta-merta sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

"Tawaran ini untuk semua petugas barisan hadapan di negara ini dan ia sah selama enam bulan selepas PKP berakhir, bertujuan menghargai pengorbanan mereka.


"Anggota pasukan keselamatan, kakitangan Kementerian Kesihatan dan petugas media layak mendapat tawaran ini," katanya pada sidang media di Hotel Adya Langkawi (HAL) di sini, hari ini.

Razmi yang juga Pengurus Besar HAL berkata, petugas terbabit hanya perlu menunjukkan kad perakuan kakitangan jabatan masing-masing bagi menikmati tawaran percuma itu.

"Setakat ini, 400 bilik hotel berstatus tiga hingga empat bintang sekitar pekan Kuah dan Pantai Chenang bersedia menawarkan penginapan percuma.

"Mereka juga ditawarkan tiket masuk percuma ke Taman Hidupan Liar Langkawi, menaiki kereta kabel dan pelayaran mewah melihat matahari terbenam," katanya.

Beliau berkata, petugas terbabit disaran membuat semakan terlebih dahulu menerusi laman sosial Facebook berkaitan tawaran itu yang akan dibangunkan dalam tempoh terdekat.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2St5PrR
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3bXpwQm
via MerahHatiCintaku.blogspot.com