Friday, 15 May 2020

Semoga Semua Rakyat Malaysia Dilindungi Daripada COVID-19 - PM


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan semua rakyat Malaysia dilindungi daripada COVID-19, dan diberi kekuatan, kecekalan serta kesabaran dalam menghadapi dugaan mencabar itu.

Perdana Menteri menzahirkan perkara itu dalam satu kenyataan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-73, menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.

Sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih atas segala ucapan selamat serta doa sempena ulang tahun kelahiran beliau, Perdana Menteri turut berharap negara dan rakyat berbilang kaum akan sentiasa hidup harmoni, bersatu padu dan sayang-menyayangi.

"Alhamdulillah, Allah SWT kurniakan saya umur panjang dan kini sudah mencecah 73 tahun.


"Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, saya kecapi hidup dan diberi kesempatan untuk menikmati segala limpah rahmat-Nya bersama keluarga tercinta, sanak saudara, rakan taulan dan seluruh rakyat Malaysia.

"Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada saudara-saudari yang mengucapkan Selamat Hari Lahir dan mendoakan kesejahteraan saya.

"Tidak mungkin dapat saya jawab satu per satu. Sekali lagi terima kasih," katanya.

Selain itu, Muhyiddin mendoakan agar rakyat Malaysia diberikan kesejahteraan serta menikmati kesenangan hidup di dunia dan akhirat.

"Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan perjuangan kita semua dalam mencari keredaan-Nya," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang dilahirkan pada 15 Mei 1947, menerima ucapan selamat sempena ulang tahun kelahiran dari seawal tengah malam tadi yang membanjiri media sosial.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/3g302n8
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3bEvYdU
via MerahHatiCintaku.blogspot.com