Sunday, 28 May 2017

Isu Muka Hadapan: The Star Mohon Maaf, KDN Akan Panggil Ketua Pengarang..


28 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star esok susulan kandungan muka hadapan yang dikatakan tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini.

Menurut Bernama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata pihaknya kecewa dengan akhbar terbabit yang memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Terawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis 'Malaysian Terrorist Leader'.

"Esok kita akan panggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan untuk mendengarkan penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk di muka depannya hari ini.

"Jika KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mengeluarkan surat tunjuk sebab," katanya.

Alwi berkata tindakan akhbar itu sangat mengecewakan memandangkan KDN telah memanggil pengurusan akhbar terbabit pada 23 Mei lepas untuk memberikan garis panduan mengenai penerbitan yang sepatutnya dikeluarkan.

Dalam pada itu, The Star juga telah membuat satu permohonan maaf atas perkara tersebut.

Menurut akhbar tersebut, adalah menjadi amalan akhbar itu menerbitkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan, kerana menghormati bulan mulia ini.

"Ini dilakukan sepanjang dekad yang lepas. Tahun ini, terdapat kebetulan cerita utama mengenai seorang pemimpin pengganas, kemudian ramai hubungkan tajuk dengan gambar berkenaan, yang mana bukan niat akhbar ini.

"Berdasarkan pengalaman yang lalu, The Star sepatutnya lebih arif dan sensitif terhadap perasaan pembaca beragama Islam. Kami memohon maaf di atas kesilapan di pihak kami," tulis The Star dalam laman webnya.

Sumber: Siakapkeli


from Sehinggit Media News http://ift.tt/2sbLYha
via IFTTT

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2qxk3as
via MerahHatiCintaku.blogspot.com