WALAUPUN dilahirkan di Birmingham, United Kingdom (UK) dan menetap di negara itu, Fatimah Omar Mukhlis, 3, tidak melupakan bahasa Melayu, malah fasih 'kecek kelate' hasil didikan ibu bapanya yang tidak mahu anak mereka lupa bahasa ibunda.
Petah bertutur sejak berusia setahun, selain fasih dialek Kelantan, Fatimah juga fasih bahasa Thailand dan bahasa Inggeris.
Fatimah kini menjadi perhatian selepas videonya 'kecek kelate' tular sejak bulan lalu.
Ibunya, Nor Ashila Mahamed Ismail, 36 ketika dihubungi berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu suka bertutur dialek Kelantan sejak kecil lagi.
"Walaupun kita bercakap bahasa Inggeris, dia akan balas dialek Kelantan. Berbeza dengan abangnya, Omar Mukhtar, 10, yang pada mulanya malu nak bercakap dialek Kelantan kerana ada segelintir rakan mentertawakannya.
"Selepas Omar melihat Fatimah berkeyakinan bertutur dialek Kelantan, baru dia (Omar) bertutur dialek itu tanpa segan dan rendah diri," katanya yang mengusahakan restoran di Birmingham.
Menurut Nor Ashila, dia dan suaminya, Omar Mukhlis Azizan, 36, mahu mendidik anak mereka supaya mengenal bahasa ibunda.
"Suami memang berasal dari Kelantan manakala saya pula berasal dari Thailand. Walaupun sudah menetap di UK sejak 2004, kami tidak mahu anak lupa bahasa dan adat.
“Oleh itu, kami praktikkan penggunaan tiga bahasa di rumah. Alhamdulillah mereka tidak keliru dan kini ketiga-tiga anak saya sudah mahir dalam menyusun ayat dalam penggunaan tiga bahasa ini," katanya.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media News http://ift.tt/2rcSEMH
via IFTTT
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2qzh9lz
via MerahHatiCintaku.blogspot.com