Monday, 1 January 2018

Seorang Gadis Berhenti Di R&R Utk Merehatkan Mata Sebentar, Tetapi Beliau Tersedar 3 Bulan Kemudian..!

Gambar hiasan

PENDANG: Detik hitam apabila pengsan di dalam kereta dan akhirnya koma selama 3 bulan yang bermula pada pertengahan 2014 nyata mengubah kehidupan seorang gadis berusia 24 tahun.

Ummu Diyana Ibrahim menganggap dirinya seperti “mati hidup semula” yang kini mampu menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.Pelajar itu mengakui apa yang berlaku benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikalnya dan peluang kedua yang diberikan Allah itu akan dimanfaatkan demi diri, keluarga dan masa depannya.

Katanya, menceritakan peristiwa hitam itu, ia bermula ketika beliau dalam perjalanan pulang ke kampungnya di sini dari Behrang, Perak.“Dalam perjalanan, saya rasa macam nak muntah, tak sedap badan. Jadi, ambil keputusan untuk berhenti berehat sekejap di Rawat dan Rehat (RNR) Bukit Gantang.“Benda yang terakhir saya ingat, saya biarkan enjin dan penghawa dingin terbuka kerana mahu terlelap sekejap,” katanya.Bekas pelajar Politeknik Behrang itu langsung tidak menyangka hanya akan “terbangun” semula selepas lebih 3 bulan.

Pada saat itu juga, bermulalah perjuangannya untuk kembali sedar sepanjang terlantar di Hospital Taiping sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas disahkan mengalami kelemasan karbon monoksida.

“Sepanjang koma, saya memang dengar dan nampak apa saja yang berlaku. Cuma saya tidak dapat memberi respons. Seluruh tubuh saya terkunci,” kata anak bongsu 6 beradik itu.Doktor kemudiannya mengambil keputusan mahu melakukan intubasi di lehernya namun pihak keluarga meminta menangguhkan prosedur tersebut kerana memikirkan implikasi yang bakal dihadapi pelajar itu.

Pantang maut sebelum ajal, Ummu Diyana hanya kembali sedar pada hari terakhir tarikh penangguhan yang diberikan doktor.“Sehingga hari terakhir yang diberikan doktor, saya masih belum memberi respons yang sepatutnya. Ibu bapa saya tidak berputus asa dengan tidak henti-henti bercakap dengan saya, minta saya kelipkan mata, menangis atau menggenggam tangan mereka kalau saya sedar.“Entah macam mana, saya kuatkan semangat dan lawan `kunci’ yang mengikat diri saya dan akhirnya saya kembali sedar,” katanya.

Ummu Diyana berkata doktor memang terkejut memandangkan selama tempoh dirinya koma, pakar perubatan tidak meletakkan harapan usia dirinya akan panjang terutama selepas melakukan proses imbasan.

“Apa tidaknya, ketika saya dijumpai sewaktu pengsan, kadar oksigen dalam tubuh saya hanya 20%. Doktor sendiri mengatakan kes saya sangat ajaib kerana tiada kerosakan kekal pada otak kecuali keadaan saraf saya sedikit terjejas terutama di bahagian kaki. Suara saya juga hilang buat seketika,” katanya.

Katanya, sehingga kini doktor tidak dapat mengenal pasti punca sebenar apa yang berlaku kepada saraf kakinya dan ada yang berpendapat terdapat saraf yang gagal berhubung dengan otak.

“Jadi, ia memerlukan masa untuk rangsangan saraf itu kembali normal. Mungkin sebulan, mungkin setahun, mungkin lebih,” katanya.

Biarpun sekarang terpaksa bertongkat dan sesekali dilanda kesakitan, ia tidak menghalang Ummu Diyana menjalani kehidupan normal sebagai pelajar tahun pertama di UUM dalam bidang keusahawanan bersama 515 pelajar yang lain bermula pada 6 Februari lepas.Malah, beliau mengakui tidak mengalami trauma untuk kembali memandu kereta dan menjelaskan, sudah pun kembali memandu tanpa masalah selepas disahkan sihat oleh doktor.

“Pengalaman mati hidup semula ini, nyata mengubah perspektif saya mengenai kehidupan. Ketika koma, kehidupan saya seolah-olah diimbas kembali.“Jadi, saya akan gunakan peluang ini untuk melakukan yang terbaik. Saya mahu berjaya dalam pelajaran dan mahu mengubah kehidupan,” katanya.

Sumber: Infopanas


from Sehinggit Media http://ift.tt/2lFvvAa
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2CnYgwD
via MerahHatiCintaku.blogspot.com