“SAYA tak kisah orang pandang rendah atau mengata kerja saya kelas bawahan, asalkan saya buat kerja halal untuk menampung keluarga,” kata Sri Mahyuni Munif, 19, pengawal keselamatan wanita yang tular di media sosial sejak semalam.
Sri Mahyuni yang mesra dengan panggilan Yuni berkata, dia mula menjadi pengawal keselamatan sejak Januari tahun lalu dan memilih pekerjaan itu kerana sukakan kanak-kanak.
Di sebalik senyuman gadis yang berkhidmat di sebuah sekolah kebangsaan di Kampung Datuk Keramat itu, pelbagai kisah sedih terpaksa dilalui sepanjang zaman remajanya.
Menurut Yuni yang juga anak sulung daripada dua beradik, lima tahun lalu dia terpaksa menamatkan persekolahannya di tingkatan dua kerana mahu bekerja untuk membantu menyara keluarga selepas bapanya berusia 54 tahun mengalami masalah kesihatan.
"Ayah pernah kemalangan kira-kira 20 tahun lalu dan kesan dari kemalangan itu lebih buruk selepas dia bekerja sebagai buruh binaan menyebabkan tulang dan badannya sakit-sakit sehingga tidak lagi berdaya mengangkat barang berat.
"Saya meminta ayah berehat dan saya sanggup berhenti sekolah untuk bekerja demi meneruskan persekolahan adik dan menyara keluarga selain membantu ibu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
"Biarpun ayah berkeras meminta saya jangan berhenti sekolah, saya terpaksa lakukan kerana tidak sanggup melihat ayah bekerja dalam kesakitan demi mencari sesuap nasi untuk keluarga," katanya ketika ditemui di sekolah, hari ini.
Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai juruwang, jurujual dan pembantu kedai fotostat sebelum berkhidmat sebagai pengawal keselamatan awal tahun lalu untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk persekolahan adiknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Kata Yuni, bekerja sebagai pengawal keselamatan sangat mencabar dan banyak dugaan yang terpaksa ditempuhi terutamanya tohmahan dilemparkan segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap kerja pengawal keselamatan.
Yuni memilih menjadi pengawal keselamatan sekolah kerana sukakan kanak-kanak.
"Kadang-kadang ada sesetengah ibu bapa melanggar peraturan dan tidak mahu mendengar arahan saya, sebab anggap kerja pengawal ini adalah golongan bawahan.
"Tetapi hati saya terubat apabila melihat kanak-kanak dan bermain dengan mereka. Ramai murid di sekolah rapat dengan saya dan ada yang menangis kerana terpaksa berpisah selepas tamat darjah enam," katanya yang menetap di Ampang.
Sejak pagi semalam, beberapa gambar Yuni memakai pakaian seragam pengawal keselamatan tular di laman sosial serta menerima pelbagai reaksi netizen selepas rakan setugasnya memuat naik gambar itu di Facebook.
Yuni berkata, dia terkejut apabila menyedari perkara itu dan terpaksa menerima dengan hati yang terbuka terhadap pelbagai kecaman netizen yang memberikan komen negatif.
"Saya tidak kisah orang nak cakap apa kerana mereka tidak tahu apa yang berlaku dan saya jadikan kata-kata itu sebagai semangat untuk saya terus kuat menjadi seorang pekerja yang lebih bermotivasi.
"Ada yang cakap kononnya saya pinjam baju ibu atau kawan, dan menunjuk-nunjuk kepada netizen tapi saya hanya mampu senyum.
"Saya ambil pandangan yang bersih-bersih saja, yang buruk-buruk saya tak nak fikir kerana bimbang memberi kesan kepada diri sendiri," katanya yang masih bujang.
Yuni juga turut menerima pujian dan pandangan positif netizen yang mengatakan dia boleh dijadikan inspirasi kerana tidak memilih kerja meskipun mempunyai paras rupa yang menarik.
Sementara itu, rakan setugas Yuni yang mahu dikenali sebagai Kak Ita, 32, berkata, dia menyifatkan Yuni sebagai seorang insan yang hanya satu dalam berjuta.
Katanya, Yuni gadis yang baik dan bersopan santun serta suka memberi pertolongan kepada orang ramai.
“Anak saya berusia 10 tahun bersekolah di Kampung Baru, setiap hari dialah (Yuni) yang menghantar dan mengambil anak saya kerana dia mahir menunggang motosikal.
“Kami sudah macam adik beradik selepas bekerja di tempat yang sama sejak Jun tahun lalu. Saya muat naik gambar dia di Facebook untuk diri sendiri, tak sangka pula boleh viral (tular),” katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media http://ift.tt/2CdVtC3
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2A5oVZ0
via MerahHatiCintaku.blogspot.com