KUALA LUMPUR: "Jangan hilang pedoman dan hilang akal apabila dibolehkan bergerak mulai Isnin ini," demikian saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, kepada orang ramai apabila kerajaan melonggarkan beberapa syarat, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung.
Orang ramai diminta untuk bersabar dan sentiasa membuat pertimbangan yang sebaiknya semasa ingin keluar dari rumah kerana penularan dan penyebaran wabak COVID-19 masih berlaku.
Abdul Hamid berkata, sebaiknya hanya mereka yang benar-benar perlu keluar sama ada untuk bekerja di sektor yang sudah dibenarkan, membeli barang keperluan, mendapatkan rawatan kesihatan, selain mempunyai kaitan dengan kebenaran kerajaan boleh bergerak untuk menjalankan aktiviti harian mereka.
"Keputusan yang dibuat kerajaan ini bukanlah satu jaminan bahawa penyakit ini sudah berjaya diatasi. Namun, kerajaan memberikan kelonggaran disebabkan atas kepentingan ekonomi. Jadi orang ramai perlu bersabar dan tidak tergopoh-gapah.
"Jadi saya menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil kesempatan dan menggunakan peluang ini untuk mereka keluar beramai-ramai tanpa tujuan semata-mata untuk berada di luar rumah," katanya selepas melawat penugasan sekatan jalan raya di Jalan Rawang-Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kerajaan sebenarnya akan melonggarkan lagi syarat yang ada dalam PKP pada masa akan datang supaya orang ramai boleh keluar untuk beriadah.
"Itu memang ada dalam perancangan kerajaan tetapi masih belum diputuskan masa yang sesuai. Namun, harus dipastikan keadaan benar-benar selamat dan penjarakan sosial sentiasa diamalkan.
"Justeru saya sekali lagi menegaskan, jangan pula pada hari Isnin ini, keadaan menjadi kelam-kabut, kesesakan panjang berlaku dan orang ramai keluar sehingga keadaan menjadi tidak tentu arah. Ikutlah saranan kerajaan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan kita berjaya mengatasi penyebaran dan penularan COVID-19," katanya.
Sumber: BH Online
from Sehinggit Media https://ift.tt/2SnPK6U
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2KVVKPP
via MerahHatiCintaku.blogspot.com