Menurut perkongsian daripada Bernama, orang ramai kini boleh mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera versi 1.0.28.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.
Majlis pelancaran diadakan selepas Perdana Menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya kira-kira pukul 2.43 petang, sekali gus menjadi antara individu terawal dalam negara menerima vaksin itu.
Kemaskini aplikasi MySejahtera
Sebelum mendaftar bagi menerima vaksin, pengguna iOS dan Android perlu mengemas kini aplikasi MySejahtera terlebih dahulu, dan ikon ‘COVID-19 Vaccination’ yang mengandungi maklumat lengkap mengenai profil peribadi perlu dikemas kini sebelum disahkan.
Setelah maklumat disahkan, pengguna akan diberi beberapa soalan antaranya persetujuan penerimaan vaksin, sejarah penyakit dan sejarah kontak rapat pesakit COVID-19 sebelum permohonan dihantar.
Aplikasi itu turut menyarankan pengguna untuk mengaktifkan notifikasi bagi menerima sebarang info mengenai program vaksinasi yang akan bermula secara berperingkat, dan sekiranya terpilih, mereka perlu mengesahkan persetujuan untuk hadir janji temu.
Pengguna yang terpilih untuk menerima vaksin perlu hadir ke pusat vaksinasi berkenaan dan mengimbas kod QR pusat itu bagi pengesahan kehadiran.
Selepas itu, profil pengguna perlu disahkan mengikut arahan petugas perubatan, dan setelah selesai penerimaan vaksin, pengguna perlu mengimbas kod QR vaksin dan mengesahkan proses apabila diarahkan oleh petugas perubatan.
Sebagai tindakan selepas proses vaksinasi, penerima perlu menghantar maklum balas berkaitan simptom yang dialami dalam aplikasi MySejahtera, dan mereka juga akan menerima sijil digital vaksinasi COVID-19 yang boleh disemak dalam menu profil aplikasi.
Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera merupakan salah satu daripada lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dalam negara.
Cara-cara nak daftar di aplikasi MySejahtera
- Buka aplikasi MySejahtera, pilih ‘Covid-19 Vaccination’
- Semak info diri kita dan klik confirm di bahagian bawah kiri
- Klik next
- Klik di bahagian “Click Here”
- Jawab soalan yang disediakan. Ada 4 soalan. Dah selesai klik submit
- “Thank you for your response” dan klik Ok
Buat semakan di laman sesawang
Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian adalah melalui laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Fasa pertama pemberian vaksin dijadualkan bermula hari ini hingga April melibatkan anggota barisan hadapan, manakala fasa kedua dari April hingga Ogos bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, di samping orang kurang upaya (OKU), sementara fasa ketiga bermula Mei hingga Februari 2020 – untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas.
Malaysia telah mengadakan perjanjian untuk memperolehi sebanyak 66.7 juta dos vaksin COVID-19 iaitu melalui fasiliti COVAX dan lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer BioNTech, Astra Zeneca, Sinovac, CanSino dan Gamaleya.
Bagi maklumat lanjut mengenai vaksin, orang ramai boleh melayari www.vaksincovid.gov.my.
Sumber: BERNAMA, Berita Harian
The post Daftar melalui aplikasi MySejahtera untuk dapatkan vaksin Covid-19 first appeared on Denaihati.from Denaihati https://ift.tt/3dJqweK
via Denaihati.com