Tuesday, 23 February 2021

Fasa Pertama Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat Bermula 24 Februari – Tengku Zafrul

Seramai 8.45 juta penerima akan menerima pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) secara berperingkat bermula esok melibatkan peruntukan berjumlah RM1.93 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia membabitkan bayaran kepada 4.4 juta penerima kategori isi rumah iaitu sebanyak RM300 setiap penerima dan 4.05 juta yang akan menerima RM150 setiap seorang untuk kateogori individu bujang.

“Bagi isi rumah dan individu bujang, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank bermula 24 Februari, manakala bayaran akan disalurkan melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mereka yang tidak memiliki akaun bank bermula 25 Februari.

“Penerima bantuan di Sabah dan Sarawak yang tidak memiliki akaun bank pula akan mula menerima bayaran bermula 1 Mac hingga 1 April ini di lokasi yang akan diumumkan kelak bersekali dengan pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0),” kata Tengku Zafrul menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Jan lepas mengumumkan bahawa pembayaran fasa pertama BPR dipercepatkan kepada penghujung Februari ini.

Tengku Zafrul berkata pembayaran fasa pertama ini dibuat kepada penerima Bantuan Sara Hidup 2020 dan BPN B40 yang telah diluluskan sebelum ini.

Katanya ia dipercepatkan bagi membantu kelangsungan hidup rakyat terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian, selain kerajaan komited memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan.

Sumber : BERNAMA

The post Fasa Pertama Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat Bermula 24 Februari – Tengku Zafrul first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/2NVw0rC
via Denaihati.com