Thursday, 13 May 2021

Orang ramai dinasihatkan waspada dengan Aplikasi MyBNM palsu

Menurut sumber Bernama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan aplikasi MyBNM, yang telah ditamatkan penggunaannya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada November tahun lepas, digunakan sebagai alat untuk menipu orang ramai.

Aplikasi MyBNM, merupakan satu kemudahan dalam talian yang pernah disediakan pihak BNM bermula  November tahun 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob dalam kenyataan berkata, mangsa dalam kes-kes ini akan dihubungi oleh pihak yang akan menyamar sebagai pegawai daripada agensi penguatkuasa, termasuklah pihak BNM.

Beliau berkata mangsa kemudiannya akan diminta untuk memuat turun aplikasi MyBNM yang palsu, dan melalui aplikasi itu, mangsa akan diminta untuk memasukkan maklumat seperti nama, nombor kad dan pin ATM, nama pengguna dan kata laluan.

“Setelah memperoleh maklumat itu, sindiket akan membuat pindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga (keldai akaun),” katanya dan menambah mangsa hanya sedar ditipu setelah menyedari wang di dalam akaun milik mereka berkurang.

Baca juga: Hati-hati! Scammer menyamar sebagai pegawai perkhidmatan (Perkeso)

Berdasarkan rekod sepanjang tahun 2020, beliau berkata sejumlah 53 kes telah dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM1.19 juta, manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun 2021, jumlah kes yang dicatatkan telah meningkat kepada 57 kes, melibatkan kerugian RM1.7 juta.

“Bagi menangani peningkatan ini, tindakan pembanterasan dan pencegahan yang melibatkan usaha sama antara PDRM serta kesedaran masyarakat perlu dilaksanakan, dengan lebih efektif.

“Di peringkat PDRM, JSJK komited untuk melipat gandakan usaha, khususnya daripada aspek siasatan badan operasi,” katanya.

Beliau berkata di pihak masyarakat, PDRM menyeru agar aspek pencegahan jenayah yang merangkumi ilmu pegetahuan, kewaspadaan dan sebagainya, sentiasa dititikberatkan.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan yang dikatakan daripada pihak penguatkuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis atau bank, yang diminta untuk memuat turun atau mendaftar dalam aplikasi MyBNM. Jangan klik mana-mana pautan, memuat turun apa-apa aplikasi mudah alih yang tertera nama MyBNM atau logo BNM,” katanya.

Zainuddin meminta orang ramai agar membuat semakan pengesahan melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun aplikasi ‘semak mule CCID’ sebelum membuat sebarang transaksi.

Selain itu, hubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-261-1559/03-26101599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial.

Sumber: Bernama

The post Orang ramai dinasihatkan waspada dengan Aplikasi MyBNM palsu first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/3f8w416
via Denaihati.com