Friday, 7 May 2021

Sepasang burung Hudhud di Taman Tasik Taiping

TANYA SAMA ITU HUDHUD MENGAPA PILIH TAMAN TASIK TAIPING UNTUK BERSARANG?

Cerita tentang kebijaksanaan burung Hudhud dalam kisah Nabi Sulaiman Alaihisalam dan lagu ‘Tanya Sama Itu Hudhud’ nyanyian M. Nasir menyegarkan kembali ingatan kita kepada burung Hudhud, satu spesis burung yang jarang ditemui di sini.

Sungguhpun kedua-dua senario di atas sering diperkatakan dan lagu itu sering menjadi siulan dibibir, namun rupa bentuk burung tersebut hampir tidak pernah terlintas di mata apatah lagi difikiran.

Hudhud adalah sejenis burung bersaiz kecil dan mampu terbang laju serta berkemahiran untuk mengesan kedudukan air serta mata air.

Video burung Hud Hud yang ditemui di Arab saudi @ https://youtu.be/2v9Elp7dxmM (subcribe ya)

Populasi burung Hudhud terdapat di sekitar Eropah, Afrika dan Asia atau juga dipanggil Afro-Eurosia dan spesis ini terbahagi kepada beberapa sub-spesis tertentu, bergantung kepada negara asal mereka.

Nama Hudhud berasal dari bahasa Arab sementara nama Inggerisnya ialah Hoopoe dan nama saintifiknya ialah Upupa epops. Burung kecil ini bersaiz 25-29 sentimeter panjang badannya dan 44-48 sentimeter lebar sayap serta mempunyai jangka hayat selama 10 tahun.

Burung ini dikatakan mendapat nama berdasarkan dari bunyinya. Bulu badannya berwarna warni dan menarik khususnya corak bulunya yang terserlah pada sayap serta pada bulu di atas kepalanya yang seakan-akan mahkota.

Burung Hudhud bersarang di lubang Pokok Yellow Flame

Baru-baru ini hangat diviralkan di sosial media tentang sepasang burung Hudhud yang dilihat bersarang di dalam lubang di pokok Yellow Flame @ Batai Laut @ Jemerlang di Taman Tasik Taiping.

Berita tersebut telah menarik perhatian ramai, khususnya di kalangan penggemar-penggemar burung sehingga ada yang sanggup menunggu berjam-jam lamanya di kawasan yang telah dibuatkan kepongan oleh pihak Majlis Perbandaran Taiping.

Video burung Hud Hud yang ditemui di Arab saudi @ https://youtu.be/2v9Elp7dxmM (subcribe ya)

Pihak Jabatan PERHILITAN Malaysia telah hadir di tapak sarang burung Hudhud baru-baru ini untuk membuat pemerhatian bersama dengan pihak Zoo Taiping & Night Safari dan NeST, sebuah NGO yang aktif tentang burung.

Mereka telah meluangkan masa selama tiga hari dengan mengadakan tinjauan dan pengawasan ke atas kawasan persekitaran, keselamatan pada sarang, tingkah laku dan diet serta kemungkinan ancaman ke atas keselamatan sarang dan burung-burung tersebut.

Beberapa maklumat tentang burung ini telah dikumpul dan akan dimanfaatkan dalam tindakan dan kajian seterusnya. Setiap hari tidak kurang dari 100 orang akan membanjiri kawasan tersebut dengan tujuan untuk merakam gambar menerusi lensa masing-masing ataupun untuk melihat pasangan yang sentiasa sibuk mengurus urusan seharian, mulai jam 7:00 pagi sehingga jam 7:00 petang.

Dipercayai pasangan burung tersebut telah berada di situ lebih seminggu lalu namun perkembangan semasa tidak dapat diperincikan kerana kengkangan untuk merakam keadaan sebenar aktiviti di dalam sarang itu.

Video burung Hud Hud yang ditemui di Arab saudi @ https://youtu.be/2v9Elp7dxmM (subcribe ya)

Namun kesibukan burung Hudhud jantan yang terbang berulang alik lebih 60 kali dalam sehari dari lokasi dia mencari makanan dan kembali ke sarang menunjukkan ada Hudhud betina di dalam lubang itu. Beberapa lensa kamera telah berjaya merakam foto burung Hudhud jantan yang begitu konsisten membawa pulang pelbagai jenis makanan untuk diberikan kepada pasangannya.

Antara diet mereka adalah anak ikan kecil, siput, labah-labah kecil, telur haiwan kecil, lipan dan lipas kecil, pupa atau kepompong, serta pelbagai jenis serangga. Setakat ini kehadiran orang ramai di sekeliling kawasan tidak menjejaskan rutin harian pasangan burung tersebut kerana orang ramai khususnya penggemar-penggemar burung berada di luar kawasan tali penghalang yang telah dipasang.

Pihak MPT dan Jabatan PERHILITAN Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak menceroboh masuk ke dalam kawasan kepungan kerana perbuatan tersebut boleh menakutkan burung-burung tersebut serta boleh mengakibatkan pasangan burung menjadi tertekan dan meninggalkan kawasan itu serta tidak kembali lagi.

Tindakan menceroboh kawasan kepongan juga merupakan satu kesalahan dan tindakan keras boleh diambil ke atas pelaku di bawah akta yang dikuatkuasa oleh Jabatan PERHILITAN.

Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama yang baik serta melaporkan kepada MPT sekiranya didapati berlakunya pencerobohan dalam kawasan kepungan. Kehadiran pasangan burung Hudhud ini adalah ibarat satu rahmat kepada Taiping kerana bukan mudah spesis yang sukar ditemui ini memilih kawasan yang aktif seperti Taman Tasik Taiping sebagai tempat untuk bersarang.

Pasti ada sesuatu yang membuatkan pasangan burung ini selesa dan yakin dengan pilihan serta keputusan yang dibuat . Yang pasti, Taman Tasik Taiping amat strategik di mata burung unik ini kerana pokok Yellow Flame yang dipilih sebagai ‘rumah sementara’ terletak berhampiran dengan sebatang anak sungai kecil yang jernih dan bersih airnya, terdapat sebuah padang rumput yang luas serta turut berhampiran dengan kawasan tasik @ kolam.

Kesemua komponen bentuk muka bumi ini berupaya menyediakan sumber makanan yang seimbang dan kaya dengan zat yang diperlukan oleh pasangan ini.

Diharapkan usaha menjaga kebajikan pasangan burung ini membawa rahmat kepada usaha konservasi burung dan hidupan liar di Taiping. Tidak mustahil jika populasi burung Hudhud berkembang di sini selepas ini dan berpotensi menjadi daya tarikan baru di Taiping.

Usaha-usaha untuk memperkenalkan Taiping sebagai hub burung-burung unik telah berjalan sejak lima tahun lalu dan semakin menampakkan peningkatan dengan kehadiran ramai ‘bird watcher’ dan bird photographer’, khususnya dari luar Taiping. Namun sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, aktiviti berkaitan burung ini terjejas sedikit.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa kumpulan penggemar burung di Taiping meneruskan rutin aktiviti seperti biasa. Kisah burung Hudhud bersarang di Taiping dianggap sebagai ‘penawar’ dalam situasi sekarang yang tidak menentu.

Kita doakan yang terbaik buat burung Hudhud dan pasangannya.

Sumber @ Fascinating Taiping

The post Sepasang burung Hudhud di Taman Tasik Taiping first appeared on Denaihati.

from Denaihati https://ift.tt/3nW3Qe9
via Denaihati.com