“TELEFON bimbit yang hilang kononnya dicuri mangsa dijumpai tercicir di kedai makan namun bagaimana dengan anak saudara saya yang kini sudah meninggal dunia?,” kata A Lalitha, 43, ibu saudara pelajar tingkatan dua yang meninggal dunia pagi tadi selepas cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.
Pelajar tingkatan dua berkenaan meninggal dunia 3.30 pagi tadi Hospital Seberang Jaya.
Mangsa M Vasanthapiriya meninggal dunia di sisi ibu bapanya selepas tidak sedarkan diri.
"Telefon bimbit yang hilang kononnya diambil mangsa itu sebenarnya tercicir di sebuah kedai makan sebelum mereka menuduh anak saudara saya mengambilnya.
"Telefon bimbit sudah dijumpai, bagaimana dengan nyawa mangsa," katanya.
Katanya, mangsa seorang yang sensitif malah ketika dituduh mengambil telefon bimbit dia dimarahi di hadapan pelajar lain.
Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, mangsa mendapatkan rawatan selepas cuba membunuh diri pada 24 Januari lalu.
Katanya, kejadian ini begitu mengejutkan dan berita sedih kepada keluarga serta seluruh rakyat Malaysia yang mendoakannya pulih.
"Keluarga pelajar 14 tahun berkenaan begitu sedih dan tertekan dengan kejadian itu.
"Malaysian Tamilar Kural juga membantu keluarga mangsa untuk mendapatkan keadilan," katanya.
Menurutnya, ini bukan kejadian bunuh diri namun satu kes bunuh dan menggesa polis mengambil tindakan terhadap guru dan suaminya yang didakwa menggertak mangsa sebelum mengambil tindakan membunuh diri.
"Kami sudah membuat laporan polis minggu lalu dan sudah empat hari sehingga hari ini kami masih belum menerima sebarang panggilan daripada polis atau pihak Jabatan Pendidikan negeri.
"Kenapa diam? Kenapa mereka masih belum memberikan jawapan terhadap persoalan kami ajukan?," katanya di bilik mayat Hospital Seberang Jaya di sini, tadi.
Vasanthapiriya pelajar sebuah sekolah menengah di Nibong Tebal dipanggil oleh empat guru sekolahnya Rabu minggu lalu sebelum dituduh mengambil iphone milik salah seorang daripada guru berkenaan.
Walaupun mangsa beberapa kali menolak tuduhan itu salah seorang daripada guru memukulnya.
Guru yang kehilangan telefon bimbit itu bersama suaminya yang juga seorang guru di sebuah sekolah rendah di Nibong Tebal mengugut membuat laporan polis ke atas mangsa.
Sumber: Harian Metro
from Sehinggit Media http://ift.tt/2nyH5xV
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku http://ift.tt/2DV4NQg
via MerahHatiCintaku.blogspot.com