Thursday, 12 March 2020

COVID-19: Tak Perlu Hentikan Solat Jumaat, Hanya Pendekkan Khutbah


Situasi semasa penularan virus COVID-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

Menurut beliau, mereka yang mengalami gejala COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.

"Individu yang disahkan positif COVID-19 dibolehkan tidak mengerjakan solat Jumaat, tetapi diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Tausiyah AM agensi agama di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.


Yang turut hadir, timbalannya, Ahmad Marzuki Shaary dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil wuduk di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan ‘hand sanitizer’ (cecair pembasmi kuman) dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.


Zulkifli berkata, solat Jumaat hanya tidak boleh dilakukan tetapi diganti dengan solat Zohor dalam keadaan wabak itu menjadi umum dan merebak secara tidak terkawal.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata hal itu hanya boleh dilakukan selepas memenuhi beberapa syarat iaitu larangan berkenaan status wabak dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.

Sumber: BH Online


from Sehinggit Media https://ift.tt/2U1ttM3
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2vmUiSI
via MerahHatiCintaku.blogspot.com