SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan tiada penganjuran bazar Ramadan pada tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu terpaksa dibuat bagi menjamin kesihatan rakyat susulan pandemik koronavirus (Covid-19).
“Kita putuskan tidak ada bazar Ramadan tahun ini kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini sudah hampir dengan Ramadan.
“Mungkin menjelang hari akhir PKP, kes Covid-19 di negara kita sudah menurun tapi kita tidak boleh ambil mudah dengan buka ruang seperti di bazar Ramadan yang membolehkan rakyat dengan mudah terdedah kepada wabak itu semula,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini semalam.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) diharap dapat mengambil perhatian mengenai keputusan itu.
Aminuddin berkata, kerajaan perlu mengambil contoh apa yang dilakukan oleh kerajaan China di Wuhan yang terus melarang pergerakan rakyatnya secara terbuka meskipun dalam tempoh beberapa hari ini tiada kes baharu direkodkan.
Bagaimanapun katanya, peniaga masih boleh menjalankan aktiviti perniagaan mereka dari rumah dengan menggunakan konsep ‘cash on delivery’ (COD).
“Peniaga perlu lebih kreatif, mahu berniaga secara terbuka seperti bazar Ramadan itu kita tidak benarkan kerana tidak mahu ambil risiko.
“Saya harap masyarakat semua dapat bersabar dan kerajaan negeri akan berusaha membantu bagi meringankan beban terutama keluarga memerlukan,” kata beliau.
Sumber: Sinar Harian
from Sehinggit Media https://ift.tt/2UBuKtA
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2JgLVLD
via MerahHatiCintaku.blogspot.com