Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Dalam keadaan negara Malaysia yang mengalami wabak covid-19 malah di seluruh dunia terkena wabak ini, masih ada orang yang mengambil kesempatan untuk membuat kerja yang pastinya salah di sisi undang-undang. Jual topeng muka melebihi harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Sejumlah 223,000 unit penutup hidung dan mulut bernilai RM446,000 dirampas dari sebuah premis di Kota Damansara, dalam satu operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada hari Rabu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata Seksyen Taktikal dan Serbuan kementerian itu mendapati semua penutup hidung dan mulut berkenaan disorok untuk dijual secara dalam talian kepada pelanggan.
Katanya lagi, pemilik premis berkenaan berhasrat untuk menjual produk itu pada harga yang lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit, melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.00 seunit.
“Operasi ini dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka atau penutup hidung dan mulut itu melebihi harga maksimum.
“Suspek menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklan penjualan produk itu. Mereka menerima pesanan melalui aplikasi Whatsapp sebelum produk dihantar melalui pos di lokasi yang jauh atau dihantar terus kepada pelanggan di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Iskandar Halim berkata, suspek melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam pada itu beliau menyarankan orang ramai menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau di https://ift.tt/2WG7ihz.
Kita doakan sama-sama agar wabak covid-19 hilang di muka bumi dan dijauhkan daripada segala penyakit yang berjangkit.
Sumber: Awani
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2UAXiU6
via Denaihati.com