
SEORANG warga emas dengan simptom koronavirus baharu (Covid-19) yang melarikan diri dari Hospital Jasin berjaya dikesan dan dibawa oleh pasukan petugas khas hospital itu ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, maklumat awal mendapati lelaki berusia 65 tahun itu, yang ditemui pada kira-kira 7 malam, semalam, adalah antara mereka yang menyertai ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
“Lelaki itu, gelandangan berasal dari Perlis, sebelum ini hadir ke Hospital Jasin untuk melakukan pemeriksaan dan dikesan mempunyai simptom Covid-19.
“Ketika dalam proses ditahan di wad untuk mendapatkan rawatan lanjut, dia melarikan diri. Pihak hospital membuat laporan polis 5.30 petang semalam,” katanya pada sidang media di Jasin, hari ini.
Mispani berkata, sebaik mendapat laporan itu, sepasukan anggota polis digerakkan untuk mengesan lelaki terbabit.
Beliau juga memaklumkan, setakat ini, sejumlah 30 peserta program itu yang berasal dari Jasin secara sukarela melakukan saringan Covid-19 dan didapati negatif.
“Saya juga ingin menyarankan kepada semua peserta ijtimak tabligh, terutama dari daerah Jasin, agar melakukan saringan Covid-19 secara sukarela di mana-mana hospital atau klinik kesihatan. Lebih baik kita mencegah daripada berlaku perkara yang lebih mudarat lagi,” katanya.
Berita warga emas ini yang melarikan diri dari Hospital Jasin ini turut tular di media sosial sebelum ini.
Sumber: Harian metro
from Sehinggit Media https://ift.tt/3b0ZIly
via Merah Hati Cintaku
from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/3b0QHZD
via MerahHatiCintaku.blogspot.com