Assalamualaikum dan Selamat sejahtera,
Pada bulan Ogos setiap tahun, khususnya pada 31 Ogos, rakyat Malaysia sudah pasti akan mengingati tarikh keramat yang sentiasa diraikan di pelbagai peringkat sama ada di peringkat negara, negeri, daerah atau jabatan-jabatan dan syarikat-syarikat. Ini bagi menzahirkan rasa syukur, bahagia dan gembira dengan kemerdekaan yang telah dikecapi oleh negara ini sejak 1957. Peristiwa bersejarah ini sentiasa diulang-ulang saban tahun.
Begitu juga dengan aktiviti penerangan, ceramah, siaran TV, radio dan akhbar-akhbar akan menyebut sambutan hari kemerdekaan dan juga sejarah bagaimana rakyat di negara ini bermandikan darah, keringat dan air mata untuk menjadikannya benar-benar mendapat kemerdekaan sehingga kemanisan merdeka dihayati dengan sepenuhnya.
Definisi Merdeka
Menurut Kamus Dewan Bahasa, merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan sebagainya. Ia juga bermaksud lepas daripada tebusan atau tuntutan serta berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)
Di dalam bahasa Arab, kemerdekaan disebut sebagai ‘استقلال’ iaitu bersendiri dalam memiliki kemuliaan, berdikari dan bangkit daripada penindasan atau melepaskan diri daripada sesuatu ikatan.
Erti Kemerdekaan
Setiap orang mempunyai pengertian yang tersendiri apabila disebut merdeka. Anggota polis merasakan amat penting memahami erti kemerdekaan. Apatah lagi perajurit dan wira tanah air dan askar yang cukup terkesan dalam hati mereka akan makna sebuah kemerdekaan.
Mereka yang hidup pada dua zaman, sebelum kemerdekaan dengan penindasan dan kezaliman serta selepas kemerdekaan yang membawa kebebasan dalam serba-serbi kehidupan akan dapat merasai perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya.
Sifat inginkan kemerdekaan dimiliki oleh semua manusia. Mereka sanggup berperang sehingga ke titisan darah terakhir dan berkorban apa sahaja semata-mata untuk meraih kemerdekaan.
Mereka titipkan ruh dan semangat perjuangan mereka kepada generasi dan anak-anak mereka. Inilah ucapan singa padang pasir, Umar Mukhtar yang penuh bermakna dan semangat. Kami nukilkan ringkasan kisahnya.
Pada tanggal 12 September 1931, adalah tarikh hitam bagi pasukan tentera Islam di Libya apabila Umar Mukhtar diberkas oleh Kolonial Itali setelah pertempuran sengit berlaku di antara kedua-dua pihak di Slonta, berhampiran Jabal al-Akhdar. Dalam pertempuran tersebut seramai 40 orang tentera Islam telah terkorban, manakala Umar Mukhtar pula ditangkap dan dipenjarakan. Beliau ditahan di kem Benghazi dengan harapan gerakan penentangan Libya nanti akan layu tanpanya.
Namun, Umar Mukhtar terus berjuang dengan menghunuskan lisannya mengancam Kolonial Itali:
سَوْفَ تَأْتِي أَجْيَالٌ مِنْ بَعْدِي تُقَاتِلُكُمْ، أَمَّا أَنَا فَحَيَاتِي سَوْفَ تَكُوْنُ أَطْوَلَ مِنْ حَيَاةِ شَانِقِي
“Kamu pasti bertembung dengan generasi-generasi akan datang selepas aku yang akan berjuang memerangi kebiadaban dan keangkuhanmu. Adapun kehidupanku yang akan kulalui jauh lebih lama daripada tukang gantung (algojo).”
Menteri Pertahanan Itali, Rodolfo Graziani (1882 M – 1955 M) pernah bertanya kepada Umar Mukhtar tentang mengapa masih berjuang sedangkan secara zahirnya negara-negara umat Islam pada waktu itu di ambang kejatuhan.
Lantas Umar Mukhtar menyatakan yang perjuangannya dibina atas dasar agama dan atas rasa tanggungjawab terhadap generasi umat Islam akan datang. Biarpun pada waktu itu tiada pilihan lain yang boleh dilakukan Umar Mukhtar, kalimah-kalimah yang benar terus disuarakan, menuntut hak dan kemerdekaan Libya.
(Lihat Kisah Umar Mukhtar, ‘Singa Padang Pasir’ oleh Mohd Azmir bin Maideen)
Tanggungjawab Kita Dalam Mempertahankan Negara
Mempertahankan kemerdekaan negara adalah kewajiban kita bersama sebagai rakyat jelata. Sebagai contoh, piagam Madinah yang diasaskan oleh Baginda SAW telah menyebut semua rakyat jelata hendaklah sama-sama mempertahankan kota Madinah.
Di samping itu, membina negara ke arah yang cemerlang dari semua aspek agar kita sentiasa bersama dengan negara maju dan moden serta tidak ketinggalan dalam pelbagai bentuk pembangunan.
Mempamerkan rasa cinta kepada negara hendaklah wujud pada setiap orang dan ditanam sejak kecil lagi kepada anak-anak. Ini menjadikan setiap warganegara amat menghargai tanah tumpah lahirnya yang sudah pasti akan ada perasaan setia kepada negara.
Hal ini sudah pasti menatijahkan banyak kebaikan dalam kehidupan kita serta perasaan seronok untuk menetap dan berbangga dengan negara kita.
Harapan
Sebagai warganegara Malaysia dan menghayati Hari Kemerdekaan yang penuh bermakna, makanya amat berharap agar Malaysia yang kita semua cita-citakan akan dapat mentahqiqkan erti kemerdekaan yang sebenar. Kami berpendapat, merdeka yang sebenar adalah:
- Merdeka dari belenggu penjajah.
- Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri).
- Merdeka dari penjajahan ekonomi.
- Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau.
- Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia.
- Merdeka dari akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina.
- Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk.
- Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
- Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah.
- Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara.
- Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumahtangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga.
- Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia.
Penutup
Kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia hasil daripada kemerdekaan. Dengan kebijaksanaan pemimpin dan pentadbir sejak dahulu, makanya kita dapati pelbagai pembangunan dan prasarana untuk keselesaan rakyat telah disediakan oleh pemerintah.
Kami mengharapkan keamanan dan keteguhan perpaduan dapat dijelmakan oleh masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sifat ras majmuknya.
Sempena bulan kemerdekaan ini, semoga rakyat Malaysia dapat merealisasikan terutamanya dari aspek penekanan peri pentingnya perpaduan rakyat serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Insya Allah, Malaysia akan menuju kepada negara yang maju, makmur, aman dan damai sehingga mentahqiqkan Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.
The post Merdeka: Tanggungjawab kita dalam mempertahankan Negara first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.
from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3barblQ
via Denaihati.com