Monday, 31 August 2020

Hadith doa ibu kepada anak seperti doa Nabi kepada umat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Doa merupakan senjata buat orang-orang yang beriman dan ia merupakan salah satu ibadah yang amat istimewa kerana ia menghubungkan secara terus seseorang hamba itu dengan Penciptanya iaitu Allah SWT. Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” al-Ghafir:60

Di samping itu juga, anak-anak merupakan harta yang cukup berharga buat ibubapa dan anak-anak ini juga merupakan perhiasan hidup di dunia buat mereka. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.” al-Kahfi: 46

Walaubagaimana pun, hadith yang berkaitan doa seorang ibu kepada anaknya seperti doa Nabi kepada umatnya:

Daripada Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دُعَاءُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ مِثْلُ دُعَاءِ النَّبِيِّ لأُمَّتِهِ

Maksudnya: “Doa seorang ayah (atau ibu) untuk anaknya, seperti doa Nabi kepada umatnya.”

Di antara ulama yang menilai akan status doa ini ialah:

  • Imam Ahmad bin Hanbal (241 H) telah mengatakan bahawa hadith di atas adalah bathil lagi munkar. [Lihat: al-Mawdhu’at, 3/87]
  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 3/87]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) juga menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-La’aaliy al-Masnu’ah, 2/250]
  • Imam Ibn ‘Arraq al-Kinaniy (963 H) menyatakan bahawa hadith ini adalah palsu. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, 2/282]
  • Imam al-Fattani (986 H) juga menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 1/202]

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas, maka kami berpandangan bahawa hadith tersebut adalah tidak sahih atau palsu daripada Nabi SAW.

Justeru, kita sama sekali tidak boleh untuk menyandarkannya kepada Nabi SAW serta menyebarkannya melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya. Ini kerana, ancaman yang keras diberikan kepada orang yang menyandarkan sesuatu yang tidak diperkatakan oleh Rasulullah SAW iaitu neraka sebagaimana sabda Nabi SAW, di antaranya:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ

Maksudnya: “Janganlah kamu berdusta di atas namaku, kerana ia iaitu yang berdusta di atas namaku tempatnya adalah neraka.” [Riwayat al-Bukhari (106) dan Muslim (1)]

Walaupun begitu, doa ibubapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang mustajab. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nai SAW bersabda:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ يُسْتَجَابُ لَهُنَّ، لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ لِوَلَدِهِ

Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya. [Riwayat Ibn Majah (3862)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi]

Tanggungjawab Dan Peranan Seorang Mukmin

Sebagai seorang mukmin yang cinta kepada Rasulullah SAW seharusnya bagi kita menjaga nama dan diri Rasulullah SAW daripada dicemari dengan pendustaan dan pemalsuan golongan yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan bukti dan tanda cinta serta kasih kita kepada Rasulullah SAW sebagaimana di dalam sebuah hadith:

  • Sabda Nabi SAW:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia kasih kepadaku lebih daripada dia kasih kepada ibubapanya, anakya dan manusia keseluruhannya.” [Riwayat al-Bukhari (15)]

Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita semua sebelum membaca, menulis, mengajar, menyampaikan ceramah atau menyebarkan sesebuah hadith Nabi SAW untuk mengenalpasti terlebih dahulu akan sumber dan status (hukum) hadith tersebut. Ini kerana, sekiranya kita menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW apa-apa yang Baginda SAW tidak ucapkan, maka kita bimbang akan termasuk di dalam ancaman tersebut. Dengan cara ini, ia akan menjaga kesucian agama ini dan juga daripada penyelewengan golongan-golongan yang ingin menghancurkan Islam.

Penutup

Kesimpulannya, di antara tanda sifat pemurah dan penyayang Allah SWT kepada kita semua adalah dengan memberikan doa-doa yang mustajab buat hamba-hamba-Nya. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk berusaha dan memperbanyakkan berdoa kepadanya. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa dimustajabkan doanya serta agar Allah SWT memelihara lidah kita daripada berdusta di atas nama Baginda SAW. Amin.

Wallahua’lam

Sumber: Mufti Wilayah

The post Hadith doa ibu kepada anak seperti doa Nabi kepada umat first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2QFC6up
via Denaihati.com