Monday, 31 August 2020

Lelaki Yang Islam Haram Pakai Inai Di Jari

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Penggunaan inai adalah hal biasa yang diamalkan lama dahulu bahkan ketika zaman baginda Rasulullah SAW sendiri, kaum lelaki memakai inai pada rambut untuk tujuan perang bagi kelihatan lebih muda dan kuat.

Di dunia moden hari ini, kaum wanita pula menggunakan inai untuk tujuan kecantikan seperti berhias untuk majlis perkahwinan sehinggakan diadakan acara khusus berinai yang dipanggil malam berinai. Jari jemari tangan dan kaki akan diinai hingga berwarna merah gelap.

Namun bagaimana pula dengan penggunaan inai di jari oleh kaum lelaki? Jika dilihat, masih ada kaum lelaki yang turut memakai inai untuk majlis perkahwinan khususnya acara bersanding.

Bagi pengunaan untuk berhias begini, inai hanya boleh digunakan untuk kaum wanita sahaja dan ia dikira sunnah yang disarankan oleh baginda Rasulullah SAW sendiri.

Baca ; Apa itu Takhbib? Ulama menyatakan hukumnya haram

Apabila telah difahami bahawa inai adalah perhiasan bagi wanita, maka lelaki diharamkan untuk memakainya, kerana ia adalah perbuatan menyerupai perempuan. Lelaki hanya dibenarkan memakai inai pada rambut dan untuk tujuan berubat sahaja.

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:

أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي

Maksudnya: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadis-hadis masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat. 
(Lihat al-Majmu’ – Dar al-Fikr, 1/294)

Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai samaada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.

Memang ia kadang-kadang dikira sebagai adat di sesetengah tempat untuk pasangan mempelai berinai, namun hal ini perlulah diterangkan kepada ahli keluarga dan orang-orang tua yang mungkin tidak tahu dan masih kuat berpegang dengan adat.

Adapaun bagi lelaki untuk mengenakan inai pada rambut, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini kerana terdapat hadith yang membenarkannya.

Wallahua’lam.

Baca : Hukum suami ambil duit isteri, boleh ke?

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan, Tzkrah

The post Lelaki Yang Islam Haram Pakai Inai Di Jari first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/2G7UOZA
via Denaihati.com