Thursday, 17 September 2020

3 Perkara Yang Boleh Merosakkan Pahala Sedekah

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Kita mengetahui kelebihan bersedekah yang sangat besar. Apabila melakukannya dengan ikhlas, Allah akan memberikan ganjaran yang tidak ternilai dan melebihi apa yang telah diberikan.

Walaupun nilai yang telah disedekahkan itu tampak kecil di mata manusia, namun ia sebenarnya besar nilainya di sisi Allah.

Yang paling penting ialah ikhlaskan hati dengan meniatkannya ke arah yang betul. Jangan bersedekah untuk tujuan lain, bimbang jika Allah menolak amalan tersebut.

Sebenarnya, terdapat beberapa perkara lain yang juga boleh merosakkan amalan sedekah. Hati-hati apabila anda melakukan tiga perkara ini dalam bersedekah;

1 – Suka Menyebut-Nyebut Pemberian

Menyebut-nyebut pemberian atau dalam bahasa mudahnya ialah mengungkit pemberian itu merupakan perkara yang ditegah.

Hal ini boleh menyebabkan niat asal si pemberi itu lari. Mungkin pada awalnya kita ikhlas. Namun, lama-lama jika suka menyebut pemberian bimbang jika perasaan riak itu boleh hadir sehinggakan pahala juga boleh terhakis. Nauzubillahi mindzalik.

ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة ، ولا ينظر إليهم ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم ، قال فقرأها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار . قال أبو ذر : خابوا وخسروا . من هم يا رسول الله ؟ قال : المسبل والمنان والمنفق سلعته بالحلف الكاذب

Maksud: “Ada tiga golongan yang tidak akan Allah ajak bicara pada hari kiamat, tidak akan Allah lihat dan tidak akan Allah sucikan serta baginya azab yang pedih. Rasulullah mengulang sebanyak tiga kali. Abu Dzar bertanya: “Siapa mereka wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Al-Musbil (lelaki yang menjulurkan pakaiannya melebihi mata kaki), al-mannan (orang yang suka menyebut-nyebut sedekah pemberian dan pedagang yang bersumpah dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Nasai, no. 2464)

2 – Jangan Bersedekah Sehingga Menyakiti Mereka

Apabila memberi, elakkan memandang rendah kepada mereka. Jaga air muka mereka dan berkata-katalah dengan bahasa yang menyenangkan.

Sambil memberi, sambil menjatuhkan maruah mereka – itu adalah perbuatan yang ditegah. Sebagaimana apa yang telah dikatakanNya melalui Al-Quran, memaafkan kesilapan orang lain adalah lebih baik daripada memberi sedekah yang diiringi dengn kata-kata yang menyakitkan.

قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى ۗ وَاللَّـهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ

Mafhum: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya lagi Maha Penyabar.” (Surah Al-Baqarah, 2:263)

3 – Elakkan Riak Dan Takbur

Seperti yang kita ketahui, perbuatan riak dan takbur merupakan perkara yang paling dibenci. Ia melambangkan kesombongan dan salah satu sifat mazmumah (terburuk).

الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ

Mafhum: “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi tuhan mereka.” (Surah Al-Baqarah, 2:262)

Baca : Sedekah boleh mengubati kesedihan

Kesimpulan

Dalam memberi, keihklasan merupakan tunjang utama yang perlu diberi perhatian. Walau sedikit nilainya, namun jika diikuti dengan sedekah, ia pasti diberi ganjaran yang besar oleh Allah.

Bukan itu sahaja, perasaan ketenangan dan kecukupan itu akan turut hadir dalam hati anda.

Wallahu a’alam.

Baca : Kelebihan Bersedekah Yang Dinyatakan Di Dalam Al-Quran

The post 3 Perkara Yang Boleh Merosakkan Pahala Sedekah first appeared on Denaihati - Blog Tips Kehidupan.



from Denaihati – Blog Tips Kehidupan https://ift.tt/3hL7mU8
via Denaihati.com