Monday, 21 September 2020

Bendera Terbalik Di Balai Polis Simpang Lima Tidak Disengajakan

IPOH, 21 Sept (Bernama) — Insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Balai Polis Simpang Lima di Parit Buntar semalam yang tular di media sosial, adalah tidak disengajakan.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata bendera itu dipasang oleh seorang anggota lelaki pada kira-kira pukul 6 pagi sebelum tamat tugas dan disedari oleh orang awam kira-kira sejam kemudian.

“Kerja memasang Jalur Gemilang bersama bendera negeri Perak dan bendera polis dilakukan pada 6 pagi setiap hari sebelum diturunkan pada pukul 6 petang namun kejadian yang berlaku semalam tidak disengajakan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata selepas dimaklumkan oleh rakan setugas mengenai kesilapan itu, anggota berkenaan kembali ke balai dan membetulkan posisi bendera berkenaan.

Mazuki berkata Ketua Polis Balai Simpang Lima telah membuat laporan berhubung kejadian petang semalam itu dan meminta orang ramai supaya tidak lagi menularkan gambar tersebut.

“Kami telah mengambil keterangan anggota berkenaan dan menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963,” katanya.

Sumber: BERNAMA



from Sehinggit Media https://ift.tt/2RMzZ8M
via Merah Hati Cintaku

from Merah Hati Cintaku https://ift.tt/2ZUJnM7
via MerahHatiCintaku.blogspot.com